PM Belanda Bidas Mahathir Berhubung MH17

BRUSSELS – Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte membidas Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana didakwa cuba menimbulkan kekeliruan berhubung keputusan pendakwaan empat individu yang dikatakan bertanggungjawab mengorbankan kesemua mangsa pesawat Malaysia Airlines MH17 pada 2014.

Memetik agensi berita, Rutte dilapor berkata, kenyataan Dr. Mahathir itu boleh menyemai kekeliruan serta membangkitkan rasa kecewa keluarga mangsa yang terlibat dalam insiden tersebut.

“Saya boleh bayangkan ahli keluarga mangsa mesti sangat kecewa dan ia menyemai kekeliruan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita menjelang Sidang Kemuncak Kesatuan Eropah di Brussels.

Rutte ditanya media asing mengenai kenyataan Dr. Mahathir kepada pemberita dalam satu majlis di Putrajaya berhubung perkara itu semalam.

Dr. Mahathir ketika ditanya wartawan berhubung perkara berkenaan memberitahu, langkah penyiasat yang diketuai Belanda untuk mendakwa tiga warga Rusia dan seorang warga Ukraine kerana bertanggungjawab membunuh 298 mangsa MH17 sebagai “tidak masuk akal” dan “bermotif politik” terhadap Moscow.

Malah katanya, Malaysia tetap mahukan bukti kukuh terhadap tuduhan itu kerana merasakan bukti yang ada tidak benar.

Ujarnya, pada masa ini Malaysia tidak berasa gembira kerana perkara itu sudah menjadi satu isu politik oleh barat.

Dalam pada Rutte menambah, Kementerian Luar Negeri Belanda akan menghubungi kerajaan Malaysia untuk mengetahui lebih lanjut komen-komen yang dilemparkan Dr. Mahathir berhubung perkara berkenaan. – Agensi

Loading...