PM Bazir Duit Rakyat Anjur Majlis Rumah Terbuka

BOROS… Ketika Yang di-Pertuan Agong sendiri sanggup membatalkan majlis rumah terbuka di Istana Negara sempena Hari Raya Aidilfitri kali ini, lain pula dengan sikap Perdana Menterinya.

Terbaharu Tun Dr. Mahathir Mohamad dan anggota jemaah Kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH) dilaporkan bakal menjamu orang ramai pada majlis rumah terbuka di Kompleks Seri Perdana di Putrajaya pada 1 Syawal ini.

Menerusi satu kenyataan Unit Komunikasi Jabatan Perdana Menteri, majlis yang disambut penuh meriah julung kali tersebut akan bermula pada jam 10 pagi pada Hari Raya Pertama berkenaan sehingga pukul 4.30 petang.

Inilah kali pertama majlis seumpama itu diadakan selepas PH menakluki Putrajaya daripada Barisan Nasional (BN) dan ia dijangka hanya dihadiri hampir 50,000 pengunjung terutama penyokong tegar blok politik tersebut.

Penganjuran majlis mewah tersebut sekali gus membuktikan kedudukan kewangan pentadbiran PH sebenarnya tidaklah susah sebagai mana didakwa mereka sendiri konon terpaksa menanggung hutang RM1 trilion diwarisi BN.

Ini kerana bajet program itu yang melibatkan elaun keraian perdana menteri sendiri menunjukkan kerajaan PH sebenarnya masih berkemampuan berbelanja besar ketika Seri Paduka Baginda pula tidak menganjurkannya.

“Sehubungan itu, orang ramai adalah dijemput hadir bagi memeriahkan majlis tersebut dengan memakai pakaian yang bersesuaian,” tulis kenyataan berkenaan, hari ini.

Dalam pada itu, kenyataan tersebut juga memberitahu bahawa sejumlah bas percuma telah disediakan bagi mengambil dan menurunkan penumpang yang mahu ke majlis rumah terbuka tersebut.

Sekadar makluman, perkhidmatan bas percuma itu disediakan dari tiga lokasi iaitu Putrajaya Sentral, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Masjid Putra ke Kompleks Seri Perdana untuk kemudahan orang ramai.

“Orang ramai boleh letak kenderaan masing-masing di tiga lokasi itu untuk naiki bas disediakan dan dinasihatkan agar menggunakan hentian bas yang sama untuk pergi dan balik,” kata kenyataan itu.

Majlis rumah terbuka ini dijangka dihadiri masyarakat pelbagai kaum yang tidak akan melepaskan peluang beramah mesra dengan perdana menteri yang paling tua usianya di dunia itu serta bertemu anggota Kabinet PH lain.

Untuk rekod pada tahun lalu, rumah terbuka Aidilfitri diadakan Datuk Seri Najib Tun Razak dan anggota jemaah menteri yang diadakan di tempat sama mencipta sejarah apabila berjaya dihadiri hampir 100,000 pengunjung.

Mereka yang hadir mengambil peluang bersalaman dan berjumpa dengan Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor sambil menikmati juadah disediakan, diiringi hiburan persembahan artis tanah air. – MYNEWSHUB.CC/EZ

*Video di bawah sekadar hiasan…

Loading...