PLUS Tak Akan Dijual, Kekal Milik Khazanah, KWSP

KUALA LUMPUR – Konsesi lebuh raya kendalian PLUS Malaysia Bhd. (PLUS) tidak akan dijual, sebaliknya kekal menjadi milik Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, berkata keputusan itu dibuat secara sebulat suara selepas kerajaan meneliti semua bidaan dikemukakan pihak swasta dan Khazanah.

“Selepas mempertimbangkan semua faktor dan bidaan, akhirnya kita memutuskan jalan terbaik ialah tidak menjual PLUS kepada sesiapa pun, sebaliknya ia dikekalkan menjadi milik Khazanah dan KWSP,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Kompleks Balai Islam An-Nur, Tenaga Nasional Berhad (TNB), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. Mahathir berkata, kadar tol di semua lebuh raya kendalian PLUS dikurangkan sebanyak 18 peratus, berkuat kuasa tahun ini, demi mengurangkan beban rakyat menanggung peningkatan kos sara hidup.

Kadar tol itu disifatkan sangat rendah, sekalipun wujud lonjakan mendadak terhadap jumlah aliran trafik dan bilangan kenderaan di jalan raya saban tahun yang dikenal pasti menyumbang penjanaan pendapatan PLUS.

“Memang betul trafik akan meningkat, namun nilai ringgit dan kuasa beli akan menurun, jadi apa yang mereka (PLUS) peroleh tidak sebanyak seperti jika nak dibandingkan dengan perjanjian asal konsensi.

“Rakyat bakal meraih manfaat daripada keputusan mengurangkan kadar tol ini sekiranya ia kekal selama tempoh 30 tahun akan datang,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan lima pembida mengemukakan tawaran rasmi mengambil alih PLUS, iaitu RRJ Capital, Widad Group Bhd., Maju Holdings Sdn. Bhd. dan ahli perniagaan, Tan Sri Halim Saad, serta Koperasi Konsortium Pemaju dan Kontraktor Bumiputera Perak Bhd. (KKPBP).

Lebuh raya terbabit dalam konsesi PLUS ialah Lebuh Raya Utara-Selatan; Lebuh Raya Laluan Kedua Malaysia – Singapura (LINKEDUA); Jambatan Pulau Pinang; Lebuh Raya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE); Lebuh Raya Butterworth Kulim (BKE); dan Lebuh Raya Seremban-Port Dickson (SPDH).

Pada Disember lalu, Menteri Kerja Raya, Baru Bian, dilaporkan berkata Kabinet mengarahkan butiran mengenai pengambilalihan konsesi lebuh raya PLUS itu dibentangkan semula.

PLUS adalah cabang lebuh raya UEM Group (UEM), anak syarikat Khazanah. UEM dan Khazanah secara kolektif memegang 51 peratus saham dalam PLUS, manakala baki 49 peratus dimiliki oleh KWSP. – BH Online

Loading...