PLUS Perlu Teliti Semula Tutup Lorong Tambah Nilai TNG

KUALA LUMPUR – Pihak pengurusan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) perlu meneliti semula keputusan penutupan perkhidmatan tambah nilai Touch ‘n Go di semua lorong keluar plaza tol di lebuh raya.

Kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, luahan dan maklum balas rakyat yang tidak berpuas hati berikutan keputusan itu patut diambil kira.

Tambah beliau lagi, perkhidmatan yang disediakan kepada pengguna lebuh raya sepatutnya tidak menyukarkan.

“Saya kira pandangan pengguna penting diberikan perhatian kerana kemudahan yang disiapkan itu untuk memberikan keselesaann kepada pengguna lebuh raya.

“Keputusan menutup lorong tambah nilai itu mungkin keputusan diambil pengurusan. Saya berharap pengurusan dapat meneliti semula keputusan tersebut dengan mengambil kira pandangan daripada pengguna lebuh raya dan mereka harus menyediakan pilihan bagi kemudahan pengguna,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen.

PLUS memutuskan untuk menutup perkhidmatan tambah nilai Touch ‘n Go di semua lorong keluar plaza tol di lebuh raya seliaannya mulai Selasa yang lalu.

Dalam satu kenyataan, PLUS memaklumkan keputusan tersebut diambil bagi mengurangkan kesesakan disebabkan urusan tambah nilai di lorong tol di semua plaza tol di wilayah utara dan wilayah selatan.

Bagaimanapun Pusat Khidmat Pelanggan di sesetengah plaza tol dan lorong tambah nilai di lorong masuk di plaza tol terpilih masih disediakan serta beroperasi seperti biasa.