PLUS Lancar Stesen Pengecas Kenderaan Elektrik Berasaskan Solar

MELAKA – PLUS Malaysia Bhd (PLUS) hari ini melancarkan stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) berasaskan solar yang pertama di negara ini dan boleh digunakan secara percuma di Restoran Jejantas Ayer Keroh Lebuh Raya Utara-Selatan (arah selatan) di sini.

Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail berkata stesen pengecas EV dengan kos RM450,000 itu mula beroperasi pada Mei lepas itu dan dibina dengan kerjasama Malaysian Green Technology Corporation (MGTC) dan Organisasi Pembangunan Industri Bangsa-Bangsa Bersatu menerusi dana daripada Global Environment Facility.

Beliau berkata inisiatif tersebut selaras dengan matlamat PLUS memberi pengalaman perjalanan di lebuh raya yang lebih positif dan kesedaran kepada orang ramai tentang teknologi dan inovasi penggunaan teknologi hijau.

“Restoran Jejantas Ayer Keroh Lebuh Raya Utara-Selatan (arah selatan) menjadi lokasi pertama pembinaan stesen pengecas kenderaan EV kerana ia merupakan laluan utama kebanyakan pengguna EV dan Plug-In Hybrid (PHEV).

“Selain itu, kebanyakan stesen pengecas kenderaan EV sedia ada dibina di kawasan Lembah Klang dan inisiatif ini dapat membantu pengguna EV serta PHEV mengecas kenderaan mereka sambil menggunakan kemudahan lain yang disediakan di kawasan ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran stesen itu di sini, hari ini. Turut hadir Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MGTC Syed Ahmad Syed Mustafa.

Azman berkata PLUS bersama pihak terlibat juga dalam perbincangan membina lima lagi stesen pengecas EV di kawasan rehat dan rawat kendaliannya iaitu di Pagoh (arah selatan), Tapah (arah selatan), Dengkil (arah selatan), Gunung Semanggol (arah utara) dan Seremban (arah utara).

Beliau berkata lima stesen berkenaan akan dibina secara berperingkat dan dijangka siap sepenuhnya menjelang awal 2020.

“Kita juga mempunyai perancangan untuk membina stesen ini di semua kawasan rehat dan rawat yang lain namun ia bergantung kepada sambutan pengguna dan dana yang ada kerana pembinaan sebuah stesen melibatkan kos yang agak tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata PLUS turut melaksanakan pelbagai inisiatif berasaskan teknologi hijau bagi membantu memulihara alam sekitar termasuk penggunaan produk biodegradasi seperti plastik, cawan, bekas makanan, sudu, garfu dan penyedut minuman di beberapa kawasan rehat dan rawat.

Sementara itu, Syed Ahmad berkata pembinaan stesen pengecas EV solar yang pertama di lebuh raya PLUS itu merupakan langkah penting dalam mempromosikan mobiliti karbon bertahap rendah selain menggalakkan penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui untuk mengecas EV.

Beliau berkata pengguna EV memerlukan antara satu jam hingga satu jam setengah untuk mengecas penuh kenderaan mereka dan ia dapat bertahan untuk perjalanan kira-kira 490 kilometer. – BERNAMA

Loading...