PLUS Jangka Lebih 300,000 Kenderaan Di Semua Laluan

36

KUALA LUMPUR – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan lebih 300,000 kenderaan pemohon Gerak Malaysia akan bergerak di seluruh negara termasuk di rangkaian Lebuhraya PLUS bermula esok sehingga Ahad.

Pengarah Urusannya, Datuk Azman Ismail berkata, PLUS telah melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) selaras dengan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia sejak fasa pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada 18 Mac lepas.

Beliau berkata setiap pemandu dinasihatkan mengamalkan jarak sosial dengan memastikan mereka mempunyai baki yang mencukupi di dalam kad Touch ‘n Go masing-masing sebelum memasuki lebuh raya.

MATI PUCUK? DAPAT RAWATAN SEGERA… KLIK

Menurutnya, ini berikutan semua urusan tambah nilai kad Touch ‘n Go menerusi pembantu khidmat pengguna di lorong tol tidak lagi dibenarkan bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19.

“Sehubungan itu, PLUS menasihatkan orang ramai supaya membuat urusan tambah nilai di stesen minyak, kios layan diri (SSK), kedai serbaneka dan mesin ATM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, selaras dengan SOP yang telah diumumkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), pengguna lebuh raya hanya dibenarkan untuk berhenti rehat di dalam kenderaan masing-masing apabila tiba di kawasan tempat letak kenderaan di kawasan rehat dan rawat (R&R), hentian sebelah atau plaza tol.

Katanya, pengguna hanya dibenarkan keluar daripada kenderaan untuk menggunakan kemudahan tandas awam sahaja.


“PLUS ingin mengingatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi garis panduan penjarakan sosial ketika beratur bagi menggunakan tandas awam di R&R. Semua surau di R&R juga masih ditutup dan tiada kemudahan pembelian makanan dan minuman di gerai R&R disediakan sepanjang tempoh Gerak Malaysia,” jelasnya.

Sepanjang tempoh tersebut juga, stesen minyak di Lebuhraya PLUS akan beroperasi dalam tempoh terhad bermula dari 6 pagi hingga 12 tengah malam sahaja, katanya.

Azman berkata perkhidmatan rondaan di lebuh raya, PLUSRonda juga disediakan 24 jam untuk menjaga keselamatan dan memberi bantuan kepada pengguna dengan menghubungi talian PLUSLine di 1800 88 0000.

Jelasnya, talian bantuan itu boleh dihubungi secara terus menerusi aplikasi PLUS yang boleh dimuat turun menerusi Apple App Store atau Google Play Store.

Ketika perjalanan Gerak Malaysia, orang ramai juga dinasihati untuk menggunakan aplikasi Waze atau Google Map bagi mengelakkan kesesakan di lebuh raya di samping mendapatkan maklumat trafik menerusi papan tanda elektronik yang disediakan di lokasi strategik di sepanjang 1,131.4 kilometer Lebuhraya PLUS.