PLUS Jamin Buka Ruang Bisnes Kepada Tempatan

PETALING JAYA – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memberi jaminan akan terus memberi peluang kepada usahawan tempatan berniaga di kawasan rehat dan rawat (R&R) kendaliannya, meskipun syarikat konsesi itu memeterai perjanjian bersama beberapa jenama makanan dan minuman peringkat nasional dan antarabangsa hari ini.

Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail berkata transformasi yang dilakukan dengan memperkenalkan tawaran baharu itu adalah seiring dengan kehendak dan tabiat pemakanan masyarakat masa kini.

“Daripada kajian yang kami jalankan mereka (pengguna) mahukan kedua-dua jenis makanan dari segi rasa dan sihat. Jadi kita besarkan lagi ruang perniagaan yang memberi peluang kepada usahawan tempatan dan jenama besar negara berniaga,” katanya selepas Majlis Menandatangani Rakan Niaga Baharu PLUS yang melibatkan 10 jenama makanan dan minuman.

Jenama itu adalah Starbucks, Krispy Kreme, Harold’s Bread, Mohd Chan, Famous Amos, A&W, Dunkin Donut, MyNews, Kenny Rogers dan Line Clear.

Azman berkata dengan termeterainya perjanjian itu, pengguna mempunyai lebih banyak pilihan untuk membeli mengikut kemampuan mereka.

“Kita ada ruang makanan bernilai dan makanan bajet yang memberi pilihan kepada pengguna untuk memilih berdasarkan citarasa masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, Azman berkata PLUS sedang melaksanakan projek pembaikan R&R Rawang (arah utara) dengan mengubahsuai rekaan dalaman yang berkonsepkan minimalis.

“Projek pembaikan ini juga akan dijalankan di beberapa R&R termasuk Machap (arah selatan), Gelang Patah (arah selatan) dan Restoran Jejantas Sungai Buloh selepas ini.

“Kita juga akan menaiktaraf R&R Seremban (arah selatan) dan Hentian Sebelah Bukit Gantang (arah selatan) tahun hadapan yang akan melibatkan pembinaan infrastruktur dengan konsep dan rekaan baharu,” katanya. – BERNAMA

Loading...