Platini Ditahan Angkara Skandal Piala Dunia 2022

PARIS – Bekas ketua UEFA, Michel Platini ditahan, hari ini, bagi membolehkan soal siasat dilakukan ke atasnya selepas dikaitkan dengan kes jenayah berkaitan memberikan hak tuan rumah Piala Dunia 2022 kepada Qatar.

Legenda bola sepak Perancis itu menerajui badan induk bola sepak Eropah pada 2007, ditahan oleh polis antirasuah Perancis bagi membolehkan siasatan dilaksanakan terhadap kes pemberian hak tuan rumah Piala Dunia 2022 kepada negara Teluk yang kaya-raya itu.

Qatar dinamakan sebagai tuan rumah Piala Dunia, tetapi keputusan tersebut telah mencetuskan kontroversi kerana negara berkenaan pada ketika itu dikaitkan dengan dakwaan rasuah sehingga membongkar skandal terburuk dalam pentadbiran FIFA lima tahun selepas itu.

Pejabat Pendakwaraya Bahagian Jenayah Kewangan Perancis (PNF) telah membuka kertas siasatan pada 2016 terhadap dakwaan rasuah, konspirasi dan pengaruh di dalam FIFA bagi memberikan hak tuan rumah Piala Dunia kepada Qatar dan pertandingan 2018 di Rusia.

Menurut Blatter, Qatar memenangi hak penganjuran Piala Dunia selepas mencapai kata sepakat dengan Perancis, yang sekali gus mengetepikan persetujuan diplomatik yang dibuat FIFA sebelum ini bagi memberikan hak tuan rumah kepada Rusia pada 2018 dan Amerika Syarikat empat tahun berikut.

Pusat penyiasatan Perancis mendakwa campur tangan telah berlaku yang turut mengaitkan Platini dan bekas Presiden, Nicolas Sarkozy.

Berdasarkan laporan majalah, France Football, satu pertemuan rahsia telah dilakukan pada 23 November 2010 di Elysee Palace, Paris antara Sarkozy, Putera Qatar, Tamim Hamad al-Thani, dan Platini yang pada ketika itu menyandang jawatan sebagai Presiden UEFA dan Naib Presiden FIFA.

Lebih seminggu selepas pertemuan itu, FIFA telah memberikan hak tuan rumah kepada Qatar bagi pertandingan 2022.

Platini tanpa berahsia memberikan sokongan kepada Qatar, tetapi menafikan dia dipengaruhi oleh Sarkozy, di mana penasihat sukan, Sophie Dion, turut ditahan bersama Platini.

Claude Gueant yang merupakan bekas ketua kakitangan Sarkozy dan mantan Menteri Dalam Negeri turut dipanggil soal siasat, hari ini oleh Pejabat Anti-Rasuah Perancis. – Agensi