PKR Tolak Cadangan Undang-Undang Lindungi Lelaki

SHAH ALAM – Parti Keadilan Rakyat (PKR) menolak cadangan undang-undang gangguan seksual untuk melindungi lelaki daripada tergoda dan terjebak dengan jenayah seperti rogol diperkenalkan.

Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan akta baharu itu dilihat tidak munasabah dan menghina golongan wanita.

“Cadangan tersebut memberi gambaran bahawa golongan lelaki tidak bermoral dan mudah tergoda hingga boleh terlibat dengan perbuatan keji,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sebaliknya menurut Ahli Parlimen Port Dickson itu, sepatutnya pihak berkenaan perlu fokus terhadap agenda memartabatkan wanita dengan memperkasa undang-undang dalam menolak sebarang serangan seksual terhadap mereka.

“Oleh yang demikian, saya meminta supaya YB Senator Laksamana Pertama (B), Mohamad Imran menarik balik cadangan tersebut,” katanya.

Semalam di Dewan Negara, Senator Mohamad Imran Abd Hamid mencadangkan undang-undang gangguan seksual untuk melindungi kaum lelaki daripada tergoda dan terjebak dengan jenayah seperti rogol.

Cadangan dikemukakan Senator PKR itu bagi memastikan golongan tersebut ‘selamat’ serta menjadikan negara terus aman daripada sebarang gejala yang tidak sihat.

Timbalan Speaker Dewan Negara, Abdul Halim Abdul Samad dalam reaksi balasnya kepada cadangan itu mengatakan ia merupakan satu pandangan yang baik. – Sinar Harian

Loading...