PKR Tidak Dijemput Ke Kongres Maruah Melayu?

KUALA LUMPUR – PKR mengesahkan parti itu masih belum dijemput ke Kongres Maruah Melayu yang akan diadakan di Stadium Malawati Ahad ini.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, pihaknya hanya bergantung kepada laporan media mengenai sebarang perkembangan mahupun makluman kongres itu. 

“Saya pun tiada maklumat, kalau pihak media dapat maklumat.. saya semalam dengan Kak Wan (Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail) tiada pula beritahu apa-apa. 

“Pagi tadi saya sarapan dengan Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) tiada pula apa-apa maklumat. Kami mengikuti dalam media sahaja,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Kempen ‘Beli Barangan Malaysia’ anjuran platform e-dagang, Shopee di sini hari ini. 

Yang turut hadir Ketua Bahagian Perniagaan Shopee Malaysia, Zed Li. 

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengesahkan kehadiran mereka ke kongres tersebut. 

UMNO pula mewakilkan Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa kerana parti itu berlapang dada dan mengambil sikap terbuka untuk hadir ke kongres yang dijadualkan berlangsung pada 6 Oktober ini.

Kongres tersebut merupakan anjuran bersama Universiti Malaya; Universiti Tekonlogi Mara (UiTM); Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) serta Persatuan Peguam Muslim Malaysia.

Dalam pada itu, ditanya sama ada PKR akan hadir sekiranya menerima jemputan tersebut, Saifuddin memberitahu perlu melalui perbincangan terlebih dahulu. 

“Semestinya akan ada perbincangan dahulu, biasanyalah,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE

Loading...