PKR Tiada Masalah Terima Salleh – Anwar

PENAMPANG – Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak ada masalah untuk menerima permohonan keahlian bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak untuk menyertai parti itu.

Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mengikut prosedur, Salleh secara automatik telah menjadi ahli PKR, bagaimanapun, pimpinan parti Pusat memutuskan untuk diberi sedikit masa bagi membincangkan lebih lanjut berhubung permohonan berkenaan.

Bagaimanapun menurutnya, ia tidak bermaksud PKR menolak permohonan Salleh, namun pimpinan parti mahu mengambil kira pandangan negeri dan cabang termasuk sentimen ahli PKR di peringkat akar umbi terlebih dahulu, memandangkan Salleh adalah seorang pemimpin terkenal dengan kesetiaannya kepada Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

“Kita perlu memahami tentang proses keahlian. Sesiapa sahaja rakyat yang memohon (menjadi ahli) secara automatik akan menjadi ahli tetapi jika nama (yang didaftar seorang yang) dikenali, kita merujuk kepada negeri dan cabang untuk memberikan kita pandangan.

“PKR tidak ada masalah untuk menerimanya tetapi kami perlu mengambil kira sentimen ahli di peringkat akar umbi dan prosesnya masih berjalan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen PKR Sabah di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi PKR Sabah, Christina Liew.

Anwar berkata, Salleh turut dimaklumkan mengenai proses yang sedang berjalan itu dan ia perlu dihormati, selain PKR juga tidak tergesa-gesa dalam hal berkenaan.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, mana-mana individu yang ingin menjadi ahli PKR juga harus menerima dasar parti dan bersedia untuk bekerja bersama parti.

Menurutnya, Salleh turut menunjukkan komitmen itu terhadap perjuangan PKR pada ketika ini, meskipun sebelum ini beliau penyokong kuat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Saya pun komited dalam UMNO satu masa dulu,” katanya.

Terdahulu, Anwar ketika berucap berkata, setiap cabang diminta untuk tidak membatalkan keahlian mana-mana ahli tanpa ada sebab yang kukuh.

Loading...