PKR Serang Tun Mahathir Balik!

Tun Dr. Mahathir Patut Berhenti Gagalkan Usaha Pakatan Harapan Mengembalikan Mandat Rakyat

Kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang terkini menggambarkan bahawa beliau terdesak untuk dilihat relevan dalam arus politik perdana. Serangan beliau terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah tidak berasas dan boleh disifatkan sebagai cubaan untuk mengkhianati serta menggagalkan usaha Pakatan Harapan (PH) mendapatkan semula kerajaan.

Kita semua sedia maklum akan kegagalan Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri dalam mempertahankan Agenda Reformasi dan mandat yang diberikan oleh rakyat sepanjang 22 bulan PH memerintah negara. Tindakan Tun Dr. Mahathir yang meletak jawatan tanpa sebarang perbincangan dengan pimpinan PH adalah punca kejatuhan kerajaan seterusnya memangkin rampasan kuasa secara khianat oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan dukungan gerombolan pimpinan Bersatu.

Oleh yang demikian, dalam usaha Dato’ Seri Anwar dan pimpinan PH menggembleng sokongan pelbagai pihak untuk mendapatkan kembali mandat rakyat yang dirampas, Tun Dr. Mahathir perlu menghentikan tindakan-tindakan beliau yang kini dilihat sebagai langkah untuk memecahbelahkan PH serta menggagalkan usaha tersebut.

Tun Dr. Mahathir sewajarnya bermuhasabah dan insaf bahawa punca segala ketidakstabilan politik yang berlaku dalam negara mutakhir ini berpunca dari tindakan beliau sendiri. Beliau seharusnya menunjukkan sikap sebagai seorang negarawan dan membantu usaha Dato’ Seri Anwar dan PH untuk mengembalikan mandat rakyat dan bukan menggagalkannya.

DATUK SERI SHAMSUL ISKANDAR MOHD AKIN
Ketua Penerangan
Parti Keadilan Rakyat