PKR Serah Siasatan Rasuah Exco Perak Kepada SPRM

MELAKA – PKR menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (SPRM) untuk melakukan siasatan terhadap seorang Exco kerajaan Perak, Abdul Yunus Jamhari berhubung isu dakwaan rasuah.

Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau turut dimaklumkan bahawa laporan polis terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Buntar itu sudah dibuat oleh bekas pegawainya sendiri.

“Kita serah kepada SPRM sahaja. Dia ada dua isu iaitu tuduhan rasuah dan kebocoran minit mesyuarat (Majlis Mesyuarat Kerajaan), jadi kita serah untuk siasatan.

“Bagaimanapun, saya belum ada apa-apa maklumat rasmi sama ada daripada yang melaporkan dan daripada YB Yunus sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan bersama Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka di Pusat Perniagaan Gangsa, Durian Tunggal di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi PKR Melaka, Halim Bachik dan Timbalan Pengerusinya, Gue Teck.

Abdul Yunus yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak dikaitkan dengan tuduhan rasuah yang dilempar terhadapnya melalui laporan polis yang dibuat serta ditularkan dalam media sosial sejak semalam.

Laporan polis yang dibuat oleh Ahli Jawatankuasa PKR Parit Buntar, Beh Yong Kean yang mendakwa seorang ahli Exco kerajaan negeri telah membocorkan kertas minit Majlis Mesyuarat Kerajaan Perak bagi mendapatkan komisen daripada dua buah syarikat pertanian.

Menurutnya, perkara itu berlaku selepas Exco terbabit bersetuju menyokong permohonan pemilikan tanah pertanian seluas lebih 36 hektar kepada dua buah syarikat berkenaan.

Loading...