PKR Sabah Hilang 8,000 Ahli

PUTATAN – Kira-kira 8,000 ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) seluruh Sabah mengumumkan keluar parti, berkuat kuasa hari ini.

Kumpulan besar itu dikatakan turut membabitkan mereka yang memegang jawatan dalam parti termasuk timbalan dan naib ketua PKR cabang, setiausaha Majlis Pimpinan Negeri (MPN) dan ahli jawatan kuasa cabang daerah.

Bekas Pengarah Tugas-Tugas Khas PKR Sabah yang mengetuai kumpulan terbabit, Datuk Nani Sakam, berkata pihaknya mengambil keputusan terbabit berikutan hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan.

“Kami keluar parti kerana sudah hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan terutama Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew.

“Kami selaku ahli tidak dijaga sedangkan kami bekerja untuk mereka.

“Apabila kita menganggotai pertubuhan atau organisasi, perlulah dijaga kerana kami sudah lama bersama PKR.

“Oleh itu, kami ambil keputusan keluar parti dengan kerelaan hati sendiri tanpa paksaan mana-mana pihak. Keluar daripada parti politik adalah sesuatu yang normal,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya sudah memaklumkan tindakan keluar parti itu kepada Ketua Cabang PKR Putatan yang juga Ahli Parlimen Putatan, Awang Husaini Sahari, semalam.

Nani berkata, mereka tidak menyertai mana-mana parti politik buat masa ini dan bergerak sebagai rakyat biasa yang mematuhi Kerajaan Persekutuan dan negeri.

Sementara itu, keadaan kecoh seketika apabila beberapa individu dipercayai penyokong PKR cuba mengganggu sidang media berkenaan, namun keadaan dapat dikawal tanpa sebarang insiden. – BH Online

Loading...