PKR Mahu SOSMA Dipinda

KUALA LUMPUR – PKR mahu beberapa peruntukan dalam Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dipinda dalam usaha menyelaraskan undang-undang berkenaan dengan prinsip hak asas manusia sejagat diperjuangkan parti itu.

Pendirian itu diputuskan dalam mesyuarat berkala Biro Politik PKR malam tadi yang membincangkan beberapa isu khususnya berkait dengan keganasan dan SOSMA.

Pengarah Komunikasinya, Fahmi Fadzil, berkata parti itu tidak bersetuju dengan peruntukan undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa bicara.

Beliau berkata, PKR juga tidak bersetuju dengan penggunaan undang-undang ‘drakonian’ termasuk SOSMA.

“Pendirian PKR mengenai isu keganasan konsisten, di mana parti tegas menentang sebarang bentuk keganasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Di samping itu, Fahmi berkata, PKR turut meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjelaskan senarai terkini organisasi atau fahaman yang ditakrif sebagai pengganas supaya orang ramai tahu, sedar serta mengelak daripada terbabit dalam sebarang bentuk dengan organisasi atau fahaman berkenaan.

Sebelum ini Tun Dr. Mahathir Mohamad dilaporkan mempertahankan tindakan PDRM bertindak mengikut SOSMA terhadap penyokong kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Perdana Menteri juga dilaporkan tidak bersetuju dengan saranan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya kerajaan tidak menggunakan SOSMA dalam kes berkenaan.

Loading...