PKR Digesa Siasat Kesavan Dakwaan Gangguan Seksual

PETALING JAYA – Kira-kira 12 kumpulan wanita menggesa PKR melancarkan siasatan dalaman ke atas Ahli Parlimen Sungai Siput, Kesavan Subramaniam, susulan laporan polis dibuat seorang wanita terhadap wakil rakyat itu atas dakwaan gangguan seksual.

Kumpulan itu yang merupakan sebahagian Kumpulan Bertindak Bersama Bagi kesaksamaan Jantina (JAG) berkata, parti politik perlu mengambil serius dakwaan terhadap Kesavan dan membentuk panel siasatan dianggotai pakar terdiri daripada lelaki serta wanita.

“Parti politik tidak boleh bertolak ansur dengan gangguan seksual. Rakyat berhak untuk mendapatkan wakil rakyat yang menghormati wanita,” menurut kenyataan yang antaranya ditandatangani All Women’s Action Society (Awam), Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) dan disokong 11 kumpulan hak wanita.

Minggu lalu, seorang wanita membuat laporan polis mendakwa beliau menjadi mangsa gangguan seksual Kesavan yang termasuk menghubunginya sehingga 50 kali sehari, menunjukkan buku Kamasutra melalui panggilan video serta menghantar gambar lucah kepadanya.

Polis Selangor berkata, mereka sedang menyiasat dakwaan itu.

Kesavan kemudiannya menafikan dakwaan wanita itu sebagai berniat jahat dan menuduhnya menaruh perasaan terhadapnya serta cuba mengganggu rumah tangganya.

Kumpulan wanita itu bagaimanapun memberi amaran undang-undang jenayah sedia ada tidak berkesan untuk menangani kes gangguan seksual.

“Siasatan polis mungkin tidak dapat menyelesaikan kes ini.

“Kes ini menunjukkan betapa perlunya Rang Undang-undang Gangguan Seksual diluluskan. Namun, PKR tidak perlu menunggu undang-undang baru ini. PKR mesti berpegang pada piawaian dalaman yang tinggi.” – FMT

Loading...