Friday, March 29, 2024

Creating liberating content

5 Berita Pelik Dan...

SEJURUS selepas berakhir Pilihan raya Umum ke-14, suasana kelam-kabut sekejap dan kemudian kembali...

Pasangan Tunai Haji Bawa...

MADINAH - Kehidupan seekor anak kucing yang sakit dan tidak boleh berjalan di...

16 Maut, 38 Cedera...

SEKURANG-KURANGNYA 16 maut, manakala 38 lagi cedera selepas sebuah van mini yang penuh...

PPIM Tidak Gentar Ugutan...

PERSATUAN Pengguna Islam Malaysia (PPIM) tidak gentar dengan ancaman dan ugutan diterima daripada...

PKPD Di Aman Jaya, Kedah Bermula Tengah Malam Ini

KUALA LUMPUR – Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di Aman Jaya, Kedah bermula tengah malam ini sehingga suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia membabitkan 22,360 isi rumah (265 rumah) di tiga zon iaitu Kenanga, Mawar dan Melur dan mereka akan disaring oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau berkata, penduduk di zon itu tidak dibenarkan keluar dari zon tersebut manakala orang luar juga tidak dibenarkan memasuki zon berkenaan dan sekatan jalan raya akan dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi mengawal jalan keluar masuk kawasan itu.

“Individu yang perlu bekerja tidak dibenarkan keluar dari kawasan sepanjang tempoh PKPD secara pentadbiran dan mereka yang dari luar juga tidak dibenarkan datang bekerja di kawasan PKPD,” katanya dalam sidang akhbar mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.

Ismail Sabri turut memberi peringatan kepada para majikan untuk tidak mengenakan sebarang tindakan kepada pekerja terlibat yang tidak hadir bekerja memandangkan ia adalah perintah oleh kerajaan, dan menyarankan majikan membenarkan pekerja untuk bekerja dari rumah.

Beliau berkata tempat awam seperti masjid dan rumah ibadat serta institusi pendidikan termasuk sekolah, taska dan pusat tuisyen turut diarah tutup sepanjang tempoh PKPD pentadbiran.

Ismail Sabri berkata hanya premis perniagaan yang menyediakan perkhidmatan perlu dibenarkan beroperasi seperti kedai makan, kedai runcit, stesen minyak, farmasi, klinik dan hospital.

“Restoran dan kedai makan hanya boleh menggunakan kaedah bungkus dan bawa pulang dan dibenarkan beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam, serta kedai menjual ubat-ubatan juga boleh beroperasi sehingga 8 malam sahaja,” katanya menambah klinik dan hospital pula dibenar beroperasi 24 jam.

Operasi pasar malam dan pasar tani tidak dibenarkan dan hanya pasar harian boleh beroperasi dari 6 pagi hingga 2 petang, manakala bagi stesen minyak dan kedai runcit pula, waktu operasi ditetapkan 8 pagi hingga 8 malam.

Menurut Ismail Sabri, hanya ketua keluarga atau seorang dari sebuah rumah dibenarkan keluar bagi tujuan pembelian barang makan atau keperluan keluarga.


Bagaimanapun, bagi kes kecemasan seperti sakit dan kematian, mereka yang terlibat dibenarkan keluar tetapi perlu mengemukakan permohonan pergerakan kepada pihak berkuasa terlebih dahulu.

Memasuki hari ke-76 pelaksanaan PKPP semalam, masih ada individu yang ingkar arahan sehingga menyebabkan PDRM menahan 63 orang melibatkan tiga direman dan 60 lagi dikompaun.

Tindakan itu atas kesalahan seperti aktiviti kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal, melanggar prosedur operasi standard (SOP), gagal mematuhi arahan kuarantin, premis beroperasi lebih masa dan tidak memakai pelitup muka.

Sementara itu, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, seramai 17,369 individu pulang ke tanah air dari 24 Julai hingga 26 Ogos dan daripada jumlah itu, 7,343 individu sedang menjalani kuarantin wajib di 64 hotel dan lima Institut Latihan Awam.

“56 individu pula telah dibawa ke hospital untuk rawatan manakala 9,970 individu telah discaj dan dibenarkan pulang ke rumah,” katanya.

Mengenai kawalan sempadan negara, beliau berkata PDRM telah menjalankan 63 sekatan jalan raya Operasi Benteng dan memeriksa 24,576 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin khususnya di lorong-lorong tikus.

Bagi operasi sanitasi awam pula, sebanyak 16 operasi diadakan semalam di enam negeri iaitu di Kedah, Sabah, Sarawak, Melaka, Selangor dan Kuala Lumpur melibatkan 85 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta 70 anggota pihak berkuasa tempatan. – BERNAMA

Kategori