PKPD Di 7 Lokaliti Di Sabah, Pahang, Kelantan

KUALA LUMPUR – Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengumumkan pelaksanaan PKPD di tujuh lokaliti di Sabah, Pahang dan Kelantan, bermula Khamis ini.

PKPD di Sabah membabitkan lokaliti di Kampung Kirangawan (Darat dan Tengah) dan Kampung Pinatau di Kota Marudu; Kampung Nuntunan Apin-Apin, Keningau; Kampung Lungkidau, Ranau serta Perumahan Pekerja Ladang Boustead Ruku-Ruku, Telupit.

Dua lagi lokaliti yang turut dikenakan PKPD adalah Kampung Bahagia, Mukim Batu Mengkubang, Kuala Krai, Kelantan dan Kampung Tementong, Mukim Cheka 1, Lipis, Pahang.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md Saad, berkata pelaksanaan PKPD ini akan dibuat selama 14 hari sehingga 29 September ini.

“Setelah meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19, PKPD akan dilaksanakan sehingga 29 September ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – BH Online