Thursday, March 28, 2024

Creating liberating content

Pengawal Keselamatan Kes Amuk...

JOHOR BAHRU - Pengawal keselamatan yang mengamuk sehingga membunuh seorang pegawai bank di...

Goh Leong San Tak...

MELAKA - Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong Goh Leong San yang keluar...

Produk Dutch Lady Malaysia...

PETALING JAYA - Dutch Lady Malaysia memberi jaminan bahawa semua produknya adalah selamat...

Minuman 3 In 1...

BUAT orang ramai, produk minuman berasaskan 3 in 1 adalah memudahkan, lebih-lebih lagi...

PKPB Sabah Dilanjut Hingga 9 November

KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Sabah yang dijadual berakhir 26 Oktober ini dilanjutkan selama 14 hari lagi sehingga 9 November.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara berkenaan diputuskan dalam Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini, selepas meneliti perkembangan semasa penularan koronavirus (Covid-19) di negeri itu.

Beliau berkata ketika ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih meneruskan saringan secara bersasar kepada penduduk.

“Sehingga kini masih terdapat peningkatan kes positif yang tinggi dikesan dalam kalangan penduduk di seluruh negeri Sabah.

“Sehubungan itu, atas cadangan MKN Sabah dan nasihat KKM, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPB di seluruh Sabah selama 14 hari,” katanya pada sidang media perkembangan PKP Pemulihan di Wisma Pertahanan di sini, hari ini.

PKPB di Sabah yang bermula 13 Oktober lepas sepatutnya tamat pada Isnin (26 Oktober).

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Mesyuarat Khas MKN juga bersetuju menguatkuasakan PKP Diperketatkan (PKPD) di Taman Semarak dan di Projek Perumahan Rakyat Balung di Tawau selama 14 hari mulai 26 Oktober sehingga 8 November susulan peningkatan kes positif Covid-19 di dua lokaliti itu.

Beliau berkata, PKPD di kedua-dua lokaliti itu membabitkan 4,266 buah rumah dengan 21,470 penghuni dan semua penduduk terlibat tidak dibenarkan keluar daripada kawasan tersebut.

“Semua sekolah, masjid dan rumah ibadat lain ditutup sepanjang tempoh ini, manakala kelonggaran diberikan kepada kedai runcit untuk beroperasi namun dihadkan mulai 6 pagi hingga 6 petang.


“Aktiviti sukan, rekreasi, sosial dan budaya adalah tidak dibenarkan dan KKM akan melakukan saringan secara bersasar kepada penduduk yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata, bekalan makanan akan diagihkan kerajaan negeri dan dikoordinasi Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan turut memaklumkan PKPD di Asrama Pekerja Tropicana Petaling Jaya akan ditamatkan mengikut jadual iaitu esok (25 Oktober).

Katanya, walaupun PKPD di lokaliti itu ditamatkan, namun kawasan berkenaan masih tertakluk di bawah pelaksanaan PKPB bagi seluruh Selangor.

Menurut Ismail Sabri, sehingga semalam, KKM telah membuat 503 saringan di asrama pekerja itu dan sebanyak 23 kes positif direkodkan.

“Kesemuanya telah menerima rawatan di hospital, manakala kontak rapat telah diarahkan menjalani kuarantin wajib,” katanya.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan pelaksanaan PKPD di Asrama Pekerja Tropicana Petaling Jaya bermula 12 Oktober hingga 25 Oktober. – BERNAMA

Kategori