PKP Punca Aliran Trafik Internet Tinggi?

KUALA LUMPUR – Peningkatan dalam penggunaan persidangan video, pembelajaran dan aktiviti membeli-belah melalui internet telah menyumbang kepada peningkatan permintaan jalur lebar yang lebih tinggi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pematuhan terhadap PKP dengan rakyat Malaysia sentiasa berada di rumah menyaksikan peningkatan sebanyak 23.5 peratus dalam aliran trafik internet di seluruh negara pada minggu pertama PKP dan 8.6 peratus pada minggu kedua.

Menurut SKMM lagi, peningkatan kepada penggunaan data menyebabkan kesesakan dan penurunan kelajuan muat turun.

“Ini memberi kesan kepada pengalaman pengguna kerana tempoh yang lebih panjang diperlukan untuk memuat turun sesuatu kandungan terutamanya perkhidmatan yang memerlukan jalur lebar berkelajuan tinggi seperti perkhidmatan penstriman video berdefinisi tinggi.

“Menurut laporan ‘Mobile Experience during the Covid-19 pandemic: 4G Download Speed’ yang dikeluarkan Opensignal, kelajuan muat turun 4G Malaysia secara purata turun daripada 13.4 Megabit sesaat (Mbps) pada awal Februari kepada 8.8Mbps minggu lalu (23 hingga 29 Mac),” kata kenyataan itu.

SKMM berkata, berikutan peralihan perilaku pengguna, trend yang sama turut dirasai di seluruh dunia apabila pemberi perkhidmatan berhadapan dengan situasi peningkatan penggunaan jalur lebar yang tinggi yang tidak pernah dialami sebelum ini.

“Pihak pemberi perkhidmatan Internet dan telekomunikasi sedang bertungkus-lumus menambah kapasiti jalur lebar bagi memastikan penyampaian perkhidmatan penting berterusan sepanjang tempoh pelaksanaan PKP,” katanya.

Sehubungan itu SKMM menjelaskan, industri telekomunikasi kini sedang memperkukuhkan prestasi rangkaian masing-masing melalui pelaburan tambahan bernilai RM400 juta seperti yang diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) pada 27 Mac lepas.

Menurut SKMM, pihaknya dan pihak pemberi perkhidmatan sedang bekerjasama untuk memantau prestasi rangkaian dan memudah cara sebarang cabaran yang dihadapi oleh pemberi perkhidmatan dalam melaksanakan tugas mereka seperti membina infrastruktur tambahan serta menyelenggara tapak sedia ada termasuk mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa.

“PKP punca aliran trafik internet tinggi?”SKMM yakin bahawa kesalinghubungan digital yang berdaya tahan bakal menanti rakyat Malaysia apabila semua inisiatif yang dirancang oleh kerajaan dilaksanakan dengan hasil sokongan yang diberikan oleh pelbagai pihak berkepentingan, terutamanya pihak industri,” katanya.