PKP: GLC Penting Bantu Kerajaan Rangka Strategi Ekonomi

PUTRAJAYA – Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negara diminta memainkan peranan yang lebih proaktif serta menjadi contoh kepada syarikat atau industri lain dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu rakyat berdepan kesukaran sewaktu penularan wabak COVID-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata permintaan itu dimaklumkan kepada kepemimpinan tertinggi enam GLC melalui sidang video yang diadakan pagi tadi.

Muhyiddin yang memuat naik satu kenyataan berserta gambar dalam laman sosial Facebook, berkata enam GLC itu adalah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tunku Alizakri Raja Alias; Permodalan Nasional Berhad (PNB), diwakili CEO Jalil Rasheed; Khazanah Nasional Berhad diwakili Pengarah Urusannya, Datuk Shahril Ridzuan; Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) diwakili CEO, Syed Hamadah Syed Othman; CEO Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Nik Amlizan Mohamed dan CEO Lembaga Tabung Haji, Datuk Nik Mohd Hasyudeen.

“Pagi ini saya mengadakan persidangan video bersama enam teraju utama GLC bagi membincangkan hal-hal berkaitan ekonomi negara.

“Peranan GLC penting dalam membantu kerajaan merangka strategi ekonomi yang komprehensif semasa dan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya juga telah meminta GLC memainkan peranan yang lebih proaktif serta menjadi contoh kepada syarikat atau industri lain dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) membantu rakyat berdepan kesukaran semasa wabak COVID-19,” katanya. – BH Online

Loading...