PKP: Dibenar Pulang Ke Rumah Selewatnya Jumaat Ini

KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi tempoh kepada orang ramai yang berada di kampung halaman, supaya pulang segera ke rumah mereka selewat-lewatnya Jumaat ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kelonggaran itu diberikan selepas berbincang dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, kelonggaran turut diberikan kepada mereka yang sudah membeli tiket penerbangan dan bas ekspres namun, perjalanan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa esok.

“Kelonggaran hanya akan diberi kepada mereka yang mempunyai sebab tertentu (kerana) ada yang saya difahamkan, melawat keluarga yang sakit di hospital dan akan pulang dua hari lagi, iaitu Khamis misalnya.

“Maka saya sudah bincang dengan PDRM, kes tertentu seperti ini dibenarkan (rentas negeri).

“Jadi jangan bimbang kalau mereka terperangkap di kampung seperti dulu, masa PKP dulu sehingga kita terpaksa buat program khas untuk benarkan yang terperangkap balik, cuma, yang mana ada di kampung dan belum pulang saya harap pulang segera paling lewat pun Jumaat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai PKP di sini, hari ini. 

Ismail Sabri berharap tiada rakyat yang terperangkap di kampung selama dua minggu ketika tempoh PKP 2.0 dilaksana, selepas kelonggaran itu diberikan. – myMetro Online