PKP 3.0 Dilanjutkan, Bantuan Menyusul – PM

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang sedang berkuat kuasa tidak ditamatkan esok.

Perdana Menteri berkata, Fasa Pertama Pelan Pemulihan Negara (PPN) akan diteruskan sehingga nilai ambang jangkitan harian COVID-19 kurang daripada 4,000 kes.

Beliau berkata, PKP 3.0 akan kekal sehingga ketiga-tiga indikator yang ditetapkan terhadap Fasa Pertama PPN dicapai sebelum beralih kepada Fasa Kedua PPN.

“Susulan langkah itu juga, kerajaan akan mengumumkan bantuan lebih menyeluruh kepada semua kumpulan masyarakat pada esok atau Selasa ini,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan empat fasa melalui PPN dan menyasar negara akan masuk ke fasa kedua pada Julai atau Ogos ini apabila nilai ambang yang ditetapkan berjaya dicapai. 

Antara indikator ditetapkan untuk negara beralih dari Fasa Pertama kepada Fasa Kedua PPN adalah kes jangkitan harian kurang daripada 4,000 kes, penggunaan katil dalam wad unit rawatan rapi berada pada paras sederhana dan kadar vaksinasi mencapai 10 peratus populasi. – BERNAMA