Pinkfong & Baby Shark Meriahkan Jelajah The Top Penang

HEBAT… Peminat cilik tempatan tentu kenal benar watak Pinkfong & Baby Shark yang pernah cetus fenomena global akhir tahun lepas…

HEBAT… Peminat cilik tempatan tentu kenal benar watak Pinkfong & Baby Shark yang pernah cetus fenomena global akhir tahun lepas dengan aksi tarian bersahaja menerusi laman YouTube.

Siri video keluarga haiwan marin comel ini malah catat lebih tiga bilion tontonan di seluruh dunia manakala video lagu pula yang ditularkan jenama pendidikan Korea Selatan, Pinkfong merekodkan kira-kira 1.7 bilion tontonan.

Kini, populariti famili ikan jerung berwarna-warni itu akan temui peminatnya selama dua hari berturut-turut pada 15 dan 16 Disember ini menerusi jelajah promo yang dibawakan khas Only World Group Holding Berhad (OWG).

Lebih unik, persembahan istimewa ini bakal disajikan di The Top Penang, taman tema dalaman terbesar di Pulau Pinang yang terletak di tiga aras tertinggi menara ikonik, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di George Town.

Ini bermakna, di samping nikmati keriangan lebih 10 tarikan menarik disediakan di puncak bangunan tertinggi di Pulau Mutiara itu, program khas dikenali sebagai ‘Awesome Day Out Package‘ pada dua hari ini memang istimewa.

Bayangkan, selain saksi panorama indah bandar raya terbesar utara Semenanjung dari sisi 360 darjah, pengunjung dihiburkan oleh Pinkfong & Baby Shark dengan cuma bayar RM180 bagi seorang dewasa dan seorang kanak-kanak.

Peminat boleh menyaksikan persembahan sensasi pop Korea ini yang dijadual beraksi di pentas pada jam 11 pagi, 3 petang dan 7 malam, di samping sesi peluang bertemu watak itu serta pakej makan secara percuma untuk si cilik.

Majlis pelancaran pakej hebat tersebut dirasmikan oleh Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif OWG, Tan Sri Richard Koh di ibu pejabat syarikat pengurusan taman tema berkenaan di Glenmarie, Shah Alam, Selangor hari ini.

Turut hadir sama ialah Ketua Pegawai Operasi OWG, Puan Sri Jean Koh serta Penolong Kanan Naib Presiden Ketua Digital TV – Jualan Media, Measat Broadcast Network System, Jeffrey Woo sebagai rakan kerjasama jelajah tersebut.

Penolong Pengarah Operasi OWG, Koh Jia-Tien dalam ucapan alu-aluannya berharap, program dua hari itu dapat tarik lebih 15,000 pengunjung ke The Top Penang yang turut ada pelbagai taman tema di aras 3, 5 dan 6 di Komtar.

Penolong Pengarah Operasi OWG, Koh Jia-Tien

“Persembahan Pinkfong & Baby Shark ini dijangka mampu tonjol imej The Top Penang kepada pengunjung luar Pulau Pinang khususnya dari Lembah Klang ketika cuti sekolah akhir tahun dengan ahli keluarga,” jelas beliau.

Justeru bagi tarik warga kota, OWG menawarkan kemasukan percuma seorang kanak-kanak pada dua hari program khas itu menerusi pembelian tiket lebih RM70 dalam satu resit di beberapa premis tertentu sekitar Lembah Klang.

Antaranya taman tema Wet World Shah Alam, Starship Galactica One Utama Shopping Mall dan Ripley Adventure Land di Genting Highlands serta pelbagai unit bisnes OWG di pusat pelancongan terkenal tanah tinggi Pahang itu.

Tiket juga boleh dibeli secara atas talian menerusi www.thetop.com.my sebelum program itu berlangsung atau terus di kaunter pada hari berkenaan. Untuk info lebih lanjut, sila hubungi 04-2623800 atau e-mel [email protected]

Maklumat mengenai ‘Awesome Day Out Package‘ ini juga boleh didapati dengan layari akaun media sosial rasmi The Top Penang iaitu melalui FB.com/thetopofpenang atau instagram.com/thetoppenang. – Mynewshub.TV

Loading...