Pingat Sukan Olimpik Tokyo 2020 Didedahkan

TOKYO – Penganjur Sukan Olimpik Tokyo 2020 mendedahkan pingat yang akan diberikan kepada pemenang kejohanan musim panas itu.

Berukuran diameter sepanjang 85 milimeter, pingat emas dan perak merupakan pingat terberat yang pernah digunakan dengan berat masing-masing sebanyak 556 gram dan 550 gram, kata jawatankuasa penganjur itu.

Bahagian belakang pingat itu memaparkan logo Olimpik dan logo Sukan Olimpik Tokyo 2020 manakala pada bahagian depan mempamerkan dewa kemenangan mitos Greek, Nike, yang merupakan keperluan yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa.

Diilhamkan oleh pereka Jepun, Junichi Kawanishi, pingat tersebut dipilih oleh panel pemilihan pada Julai lalu menerusi pertandingan yang menerima 400 penyertaan, lapor agensi berita, Kyodo.

Pertandingan itu dibuka kepada pereka profesional dan pelajar.

“Dengan lingkaran yang bersinar, saya harap pingat ini dilihat sabagai memberi penghormatan kepada usaha atlet, menggambarkan kejayaan dan persahabatan mereka,” kata Kawanishi.

Pingat emas itu diperbuat daripada kepingan perak tulen yang disadur dengan emas seberat enam gram. Pingat perak pula diperbuat daripada kepingan perak tulen manakala pingat gangsa diperbuat daripada gangsa tahan karat.

Bahagian tepi pingat akan dilarik dengan nama acara.

Riben pingat diperbuat daripada poliester kitar semula yang memaparkan motif rekaan trandisi Jepun selain logo Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Rekaannya akan membolehkan mereka yang cacat penglihatan membezakan warna pingat dengan menyentuh riben tersebut.

Kira-kira 5,000 pingat dihasilkan dengan menggunakan logam kitar semula daripada telefon bimbit dan peralatan elektronik kecil.

Kempen mengumpul peralatan untuk dikatar semula berlangsung pada April 2017 hingga Mac lalu.

Pihak berkluasa tempatan memperolehi 78,985 tan barangan yang didermakan bagi membolehkan mereka mendapat 32 kilogram (kg) emas, 3,500 kg perak dan 2,200 kg gangsa.

Rekaan bagi pingat paralimpik akan didedahkan pada Ogos ini. – Agensi

Loading...