Friday, March 29, 2024

Creating liberating content

Raja Bahrin Tiba Untuk...

SEPANG - Raja Bahrain Raja Hamad Isa Al Khalifa berangkat tiba di Malaysia...

Larangan Pekerja Hotel Bertudung...

PUTRAJAYA – Tindakan melarang pekerja wanita Islam bertudung bertugas di bahagian hadapan sektor...

Pembangunan Tidak Mampan Punca...

KUALA LUMPUR - Projek pembangunan yang tidak dirancang dengan baik punca banjir kilat...

Sarawak Tak Benarkan Rakyat...

BINTULU - Kerajaan Negeri Sarawak memutuskan untuk menyekat kemasukan rakyat China ke negeri...

Pil Gugur Janin Misoprostol Produk Tidak Berdaftar

SHAH ALAM – Kementerian Kesihatan (KKM) mengingatkan orang ramai agar tidak terlibat dalam penjualan serta membeli produk tidak berdaftar ekoran terdapat banyak kegiatan penjualan pil gugur janin jenis misoprostol yang dijual secara berleluasa dalam talian.

Ketua Pengarah KKM, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, misoprostol merupakan produk tidak berdaftar yang sering disalah guna tanpa pengawasan pengamal perubatan berdaftar untuk menggugurkan janin.

Malah katanya, penggunaan pil gugur tanpa pengawasan pengamal perubatan berdaftar juga boleh memberi implikasi seperti rahim terkoyak (uterine rupture), pendarahan tidak normal, bayi cacat jika kandungan gagal digugurkan, jangkitan kuman serta boleh membawa maut sekiranya tidak dirawat.

Menurutnya, pemegang pendaftaran produk misoprostol membatalkan pendaftaran produk itu pada November 2016 menjadikannya sebagai produk tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan tidak dibenarkan untuk dijual di pasaran Malaysia.

Katanya, selain misoprostol, mifepristone juga merupakan produk tidak berdaftar yang sering disalahgunakan untuk tujuan menggugurkan janin.

“Penjualan produk yang tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan satu kesalahan di bawah Peraturan 30(1) peraturan yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952.

“Individu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, bagi tempoh sepanjang tahun lalu sehingga 2019, pihaknya menerima sebanyak 51 aduan berkaitan penjualan pil gugur kandungan secara dalam talian yang disalah guna untuk aktiviti pengguguran haram dan penggunaan yang tidak dibenarkan oleh undang-undang.

Beliau berkata, pihaknya turut melakukan 24 serbuan ke atas produk tersebut yang dijalankan sejak tahun 2016 hingga kini membabitkan nilai rampasan sebanyak RM95,233.


Selain itu katanya, KKM turut bekerjasama rapat dengan agensi-agensi penguatkuasaan lain seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), CyberSecurity dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengekang kewujudan laman sesawang, media sosial dan lain-lain platform media baharu yang dikesan melanggar akta-akta yang dikuatkuasakan.

Menurutnya, sejak 2016 hingga kini, sebanyak 302 laman sesawang disaring oleh KKM dan daripada jumlah tersebut, 98 laman sesawang dihantar kepada SKMM, Facebook, Twitter, dan YouTube untuk tindakan penutupan.

“Selain itu, KKM melalui Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF) turut meningkatkan kerjasama dengan pengendali platform e-dagang yang berpusat di Malaysia.

“Notifikasi dihantar kepada pengendali platform e-dagang agar menurunkan iklan-iklan berkenaan pil gugur janin,” katanya.

Noor Hisham berkata, KKM percaya sumber pembekalan pil gugur janin diperoleh secara haram melalui pembelian secara atas talian atau penyeludupan dari negara luar yang menggunakan perkhidmatan pos dan kurier.

“KKM akan bekerjasama dengan syarikat perkhidmatan pos dan kurier dalam usaha untuk menyekat pembelian pil gugur secara dalam talian atau penyeludupan dari luar negara,” katanya.

Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati sewaktu membeli produk kesihatan yang dijual secara atas talian agar tidak mudah terpedaya dan boleh menyemak kesahihan nombor pendaftaran produk atau notifikasi kosmetik dengan melayari portal Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) iaitu www.npra.gov.my.

Kategori