Pijak Al-Quran: 4 Remaja Perempuan Ditahan

KOTA BHARU – Empat remaja perempuan yang dipercayai terbabit dalam kes rakaman video memijak senaskah al-Quran ditahan polis di sekitar Tanah Merah bermula malam tadi hingga pagi ini.

Kesemua suspek berusia 17 tahun ditahan sepasukan polis antara jam 11 malam hingga jam 2.30 pagi.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya sebelum itu menerima laporan berhubung kejadian tersebut daripada kakak salah seorang suspek.

“Polis berjaya mengesan kedudukan kesemua mereka dalam serbuan di Tanah Merah dan ditahan untuk membantu siasatan.

“Kesemua mereka dibawa ke Mahkamah Tanah Merah dan dikenakan perintah tahanan reman selama tiga hari sehingga 21 Julai ini,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Tambahnya, kes disiasat Seksyen 295 Kanun Keseksaan dan polis turut mengucapkan terima kasih di atas keperihatinan masyarakat awam berhubung kes berkenaan. – Sinar Harian

Loading...