Pihak Berkuasa Tahu Wujud Kem, Kubur Di Wang Kelian

PUTRAJAYA – Sesi pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis diberitahu bahawa pihak berkuasa Malaysia mengetahui kewujudan kem dan kubur berkenaan lebih awal daripada Thailand.

Wartawan New Straits Times (NST), Aliza Shah Muhammad Shah menjelaskan bahawa Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Khalid Abu Bakar, bagaimanapun memutuskan untuk tidak mendedahkan penemuan itu atas permintaan rakan sejawatannya dari Thailand.

Aliza Shah berkata, perkara itu diakui sendiri oleh Khalid kepadanya ketika beliau menemui bekas ketua polis negara itu pada satu acara 10 Oktober 2015.

Katanya, respons itu diberikan susulan panggilan telefon dan kiriman mesej melalui aplikasi WhatsApp beliau kepada Khalid bagi bertanyakan sama ada betul atau tidak Malaysia menemui kem dan kubur itu pada Januari 2015 tidak mendapat jawapan.

Beliau berkata, panggilan dan WhatsApp itu dibuat selepas beliau turun dari melakukan tinjauan ke Genting Perah bagi melihat sendiri lokasi penemuan kem dan kubur pada 8 Ogos.

Loading...