Thursday, March 28, 2024

Creating liberating content

Hak Jagaan 3 Anak...

JULAI tahun lalu, mahkamah memberikan hak penjagaan sementara tiga anak hasil perkahwinan Awie atau nama sebenarnya...

Koperal Polis Maut Akibat...

Kajang : Polis sudah menahan lima lelaki dan mengesan beberapa lagi suspek yang...

Tsunami Baharu Mungkin Landa...

PARIS – Beberapa pakar bencana kelmarin memberi amaran satu lagi kejadian tsunami mungkin...

62 Anggota Kongsi Gelap...

KUALA LUMPUR - Sejumlah 62 anggota kongsi gelap ditahan di tiga negeri dalam Ops Cantas Khas...

PICK Buka Laluan Untuk ‘Merdeka’ Daripada Covid-19

KUALA LUMPUR – Buat tahun kedua berturut-turut sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia diraikan dalam norma baharu dek penularan Covid-19 yang masih belum dapat dikawal.

Namun pemerhatian penulis mendapati sambutan kali ini agak lebih terserlah dengan lebih banyak premis dan kenderaan mengibarkan Jalur Gemilang berbanding tahun lepas. Malah, media sosial juga dipenuhi klip video yang memaparkan ahli masyarakat meraikan Bulan Kebangsaan 2021 sekalipun dikekang prosedur operasi standard (SOP).

Barangkali, berbanding tahun lepas, masyarakat kini semakin optimis yang kita akan dapat ‘memerdekakan’ negara daripada belenggu Covid-19, khususnya melalui program pemvaksinan yang sekarang menuju fasa akhir.

Pastinya harapan lebih tinggi dalam kalangan petugas kesihatan yang sejak awal tahun lepas berkorban tenaga dan masa melebihi tuntutan tugas demi memastikan mereka yang dijangkiti virus maut itu mendapat rawatan terbaik.

Perjuangan melawan pandemik

Mengulas harapannya bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan ke-64 dan Hari Malaysia kepada Bernama, pakar perubatan klinikal di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Mohd Fadhli Zil Ikram Karim berkata, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) membawa harapan bahawa kemenangan akan menyebelahi mereka.

“Kini, kami seolah-olah dapat melihat ‘cahaya di hujung jalan’. Keberkesanan vaksin yang diberi melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan mula menunjukkan kesan positif,” ujar beliau.

Mengimbau kembali perubahan drastik yang dialami mereka susulan ‘ketibaan’ virus Covid-19 di negara ini, Dr Mohd Fadhli berkata, tekanan dan keletihan mereka mula dirasai apabila kes jangkitan meningkat secara mendadak.

“Ketika itu kemudahan hospital seperti katil dan juga petugas mula tidak mencukupi (untuk menampung kemasukan pesakit). Tambahan pula pada waktu tersebut kami masih belum mengetahui cara rawatan terbaik, menyebabkan kami kerap menukar kaedah rawatan,” katanya.

Menurut beliau, vaksinasi lengkap dua dos berjaya menurunkan kadar kemasukan pesakit ke unit rawatan rapi dan kematian.

“Hal ini memberikan kegembiraan kepada kami petugas barisan hadapan, seolah-olah kita sedang berarak menuju kemerdekaan daripada Covid-19,” tambah beliau.

Bersenjatakan vaksin menuju kemerdekaan

Pakar forensik patologi HKL, Dr Ahmad Hafizam Hasmi pula berkata, susulan pelaksanaan PICK, mereka kini mampu berehat sedikit berikutan jumlah jenazah Covid-19 yang diterima beliau dan pasukan berkurangan dengan ketara.

Menurutnya, sejak awal gelombang ketiga pandemik itu, beliau dan pasukan termasuk sukarelawan, bertugas hampir tanpa rehat saban hari kerana perlu menguruskan jenazah Covid-19 secepat mungkin.

Malah kata Dr Ahmad Hafizam, mereka pernah menerima dan menyimpan 200 mayat pada satu masa di Pusat Sehenti Sementara HKL (Pusara HKL).

“Ketika itu, penyerahan jenazah Muslim terpaksa dilakukan hingga tiga kali dalam sehari, iaitu tengah hari, petang dan malam. Itu hanya membabitkan jenazah Muslim. Untuk mengangkat keluar jenazah dari kontena penyimpanan dan menguruskan jenazah tersebut pula memerlukan tenaga kerja lebih daripada dua orang,”kongsi beliau.

Pengurusan pesakit Covid-19 yang bersalin

Boleh dikatakan bahana Covid-19 merentasi pelbagai cabang perubatan seperti yang dikongsikan oleh Dr Muhammad Firdaus Mat Noh, pegawai perubatan di Jabatan Obstetrik dan Ginekologi Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom di Kluang, Johor.

Menurut beliau, mereka terpaksa mengendalikan proses kelahiran membabitkan pesakit COVID-19 dengan memakai peralatan perlindungan diri (PPE).

“Kami harus menjaga dua nyawa-nyawa ibu dan nyawa anak dalam kandungan.

“Proses melahirkan dilakukan secara pembedahan caesarean, iaitu kaedah terbaik yang kami sarankan untuk mengurangkan potensi transmisi virus,” jelas beliau.


Namun kata Dr Muhammad Firdaus, ada kalanya mereka turut berdepan kesedihan apabila satu daripada dua nyawa tersebut tidak dapat diselamatkan.

Bukan mudah untuk melihat anak kecil yang baru sahaja dilahirkan kehilangan ibu atau si ibu kehilangan bayi yang dilahirkannya, ujar beliau.

“Saya berharap untuk kemerdekaan tahun ini kita akan bersama-sama berusaha ‘memerdekakan’ negara ini daripada pandemik Covid-19, tidak kira apa yang menghalang, kita mesti berusaha mencapainya,” katanya.

Bantu redakan keresahan pesakit Covid-19

Sementara itu, pemandu ambulans Klinik Kesihatan Kuala Lumpur, Mizan Ahmad Fadzil pula berkata, beliau berusaha meredakan keresahan dan ketakutan pesakit Covid-19 yang dibawa beliau, khususnya kanak-kanak.

Demi menceriakan pesakit muda, Mizan berkata beliau mengenakan topeng adiwira Iron Man.

“Ketakutan dan keresahan pesakit Covid-19 ketika dibawa menaiki ambulans adalah perkara utama yang mereka alami. Saya terfikir cara menggunakan topeng adiwira ini bagi menenangkan dan menceriakan mereka supaya mereka bersemangat untuk kembali sembuh.

“Bahkan saya pernah menerima beberapa permintaan khas daripada ibu bapa pesakit yang menghubungi hospital kerana anak mereka mahu ‘Iron Man’ yang membawa mereka ke hospital,” kata Mizan.

Bercerita lanjut tentang pengalamannya, Mizan yang terlibat dalam membawa pesakit Covid-19 sejak gelombang pertama, berkata pada peringkat awal penularan, beliau mengasingkan diri daripada keluarga kerana bimbang ‘membawa pulang’ virus maut itu.

“Saya mengambil keputusan untuk tidak pulang ke rumah ketika gelombang awal pandemik dulu kerana risau akan keselamatan ahli keluarga dan saya sibukkan diri dengan tugasan mengambil pesakit,” kata Mizan.

Pesanan kepada umum

Dalam pada itu, di sebalik keberkesanan vaksin, orang ramai masih perlu mematuhi SOP, kata Dr Mohd Fadhli.

“Kita sudah menuju ke arah ‘kemerdekaan’ itu, dengan izin Tuhan, kita akan bersama-sama ‘merdeka’ daripada pandemik Covid-19 ini,” katanya.

Pakar perubatan sukan HKL Dr Kamaljeet Singh pula berkata, pandemik Covid-19 menyatukan masyarakat dengan cara baharu.

“Merdeka kali ini istimewa, semua masyarakat di negara ini yang berbilang bangsa dan agama bersatu melawan wabak ini bersama-sama,” katanya.

Pandangan itu turut dipersetujui Dr Ahmad Hafizam yang berkata, Malaysia hanya boleh memenangi peperangan melawan Covid-19 tersebut jika semua ahli masyarakat bekerjasama.

“Kita hampir menang, dan apabila kita menang kelak, itu adalah kemenangan bersama. Inilah perjuangan kita sebagai sebuah ‘Keluarga Malaysia’,” katanya. – BERNAMA

Kategori