Piala Dunia: Croatia Aibkan Argentina 3-0

GEMPAR… Croatia lakar kejutan apabila atasi pasukan pilihan Agentina 3-0 dalam perlawanan kedua Kumpulan D Piala Dunia, sekali gus mengesahkan diri ke peringkat 16 terakhir lebih awal.

Tiga gol dijaringkan oleh Ante Rebic pada minit ke-53, diikuti kapten Luka Modric 27 minit kemudian, sebelum Ivan Rakitic melengkapkan kemenangan bergaya pada masa kecederaan babak kedua di Stadium Nizhny Novgorod.

Juara dunia dua kali, Argentina yang dibintangi penyerang prolifik Barcelona, Lionel Messi berdepan dengan misi paling sukar untuk mara ke peringkat kalah mati selepas hanya memungut satu mata daripada dua perlawanan.

Manakala Croatia muncul pendahulu Kumpulan D dengan enam mata. Ini menyebabkan bekas rakan sepasukannya, Pablo Zabaleta meminta Messi perlu bersara daripada peringkat antarabangsa jika Argentina terkandas.

“Saya berasa sangat kasihan dengan Lionel Messi,” katanya kepada BBC. Messi gagal menyerlahkan permainan terbaiknya ketika Argentina tewas kepada Croatia sekali gus berdepan dengan penyingkiran awal.

Zabaleta, yang merupakan sebahagian tonggak yang muncul finalis edisi 2014, percaya sudah tiba masanya bintang kelab Barcelona berkenaan menamatkan kerjaya antarabangsanya sekiranya mereka gagal mencapai pusingan 16.

“Ini peluang terakhir untuk memenangi sesuatu bersama Argentina. Jadi, saya tidak akan terkejut jika selepas ini dia bersara daripada bola sepak antarabangsa. Dia pasti sangat kecewa dan terpaksa tunggu empat tahun lagi di Qatar.”

Argentina tumbang susulan kesilapan Willy Caballero yang memberi ruang kepada jaringan pembukaan Rebic pada minit ke-53 manakala jaringan Modric dan Rakitic pada penghujung permainan menambah lagi duka Argentina.

Mengulas lanjut, Zabaleta berkata sukar untuk menjelaskan prestasi skuad kebangsaannya selain memberi amaran kepada barisan pemain bahawa penyokong tidak akan bertolak-ansur dengan sebarang pencapaian buruk.

Tambahnya: “Penyokong di Argentina pasti berasa sangat marah sekarang. Mereka menaruh harapan besar kepada barisan pemain ini. Mereka sangat dahagakan kejayaan Piala Dunia dan pasti tidak akan menerima keputusan ini.

“Saya tidak pernah melihat persembahan seperti ini yang dipamerkan oleh Argentina, langsung tidak pernah. Kurangnya semangat dan ia sangat aneh untuk disaksikan,” ujar beliau lagi.

Mario Kempes – yang merupakan sebahagian daripada pemenang Piala Dunia Argentina 1978, turut senada dengan Zabaleta serta melabel pemain-pemain mempamerkan prestasi cukul “memalukan”.

“Persembahan memalukan… penyingkiran makin dekat dalam setiap perlawanan. Apabila kita jangka kebangkitan dalam perlawanan kedua, adalah sangat mengejutkan kerana berlangsung lebih buruk daripada yang pertama.”Agensi

Loading...