Piala AFF Suzuki: Jangan Beli Dari Ulat Tiket – FAM

KUALA LUMPUR – Penyokong skuad bola sepak negara dinasihatkan supaya tidak membeli tiket perlawanan separuh akhir pertama Kejohanan Bola Sepak Piala Suzuki AFF 2018 antara Malaysia dan Thailand di Stadium Nasional, Bukit Jalil, esok daripada ulat tiket yang menjual pada harga lebih mahal berbanding normal.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Michael Ramalingam menjelaskan tindakan memboikot tiket berkenaan menyebabkan ulat tiket mengalami kerugian, sekali gus mampu mengurangkan kegiatan tidak bermoral tersebut pada perlawanan besar akan datang.

“Namun jika para penyokong terus dengan tabiat tidak kisah untuk berbelanja lebih membeli tiket yang telah digandakan harganya oleh ulat tiket ini, ia hanya akan membuatkan perkara ini akan berlanjutan dan tidak boleh dihapuskan sampai bila-bila,” katanya yang dipetik sebagai berkata dalam satu kenyataan dikeluarkan FAM, hari ini.

Mengulas lanjut, Stuart memaklumkan badan induk itu akan mengambil langkah proaktif dengan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam membasmi kegiatan ulat tiket ini daripada terus mencemarkan industri bola sepak negara.

Beliau menegaskan tindakan boikot berkenaan sedikit sebanyak mampu mengurangkan aktiviti ulat tiket daripada terus berleluasa pada masa akan datang.

“Jika tiada permintaan, maka tiadalah penawaran,” jelas Stuart.

FAM sebelum ini menjual tiket perlawanan berkenaan pada kadar RM40 bagi tempat duduk grandstand, RM30 bagi tempat duduk terbuka dan RM5 bagi tiket kanak-kanak.

Sejumlah 80,000 keping tiket ditawarkan untuk perlawanan berkenaan, bagaimanapun dilaporkan sudah habis dijual beberapa hari lepas dengan 40,000 keping tiket dijual secara dalam talian, manakala selebihnya secara fizikal di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam. – BERNAMA