Piala AFF Suzuki: Harimau Malaya Layak Ke Final

TAHNIAH… Perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Rajamangala, Bangkok menyaksikan penyokong tuan rumah tergamam dibenam pelawat dari Malaysia.

Setelah kedua-duanya terikat tanpa jaringan 0-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu, skuad Gajah Perang dan Harimau Malaya turun berentap untuk rebut tempat ke saingan akhir edisi 2018.

Thailand menceriakan penonton di gelanggang sendiri apabila terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Thitipan Puangchan pada minit ke-21 setelah keadaan sedikit kelam kabut di dalam kotak penalti Malaysia.

Namun tidak lama selepas itu, pertahanan kanan muda Malaysia, Syahmi Safari meledak gol penyamaan dari luar kotak penalti pada minit ke-28. Dua pasukan ini berhenti rehat tamat separuh pertama dengan terikat 1-1 sama.

Memasuki separuh masa kedua, stadium bergema sekali lagi dengan sorakan penonton apabila Thailand yang mendapat sepakan percuma berjaya menghasilkan gol kedua menerusi Pansa Hemviboon pada minit ke-62.

Malangnya tidak sampai 10 minit kemudian, hantaran rendah Syamer Kutty Abba berjaya disudahkan Norshahrul Idlan Talaha di dalam kotak penalti untuk gol kedua Harimau Malaya sekali gus stadium berubah jadi suram sepi.

Thailand pada masa tambahan lima minit masa kecederaan selepas berakhir 90 minit berjaya mendapatkan penalti pada minit-minit akhir permainan setelah bola terkena tangan Syahmi yang turut dilayangkan kad kuning kedua.

Namun, tendangan ke langit oleh Adisak Kraisorn telah meranapkan impian puluhan juta rakyat Thailand untuk menafikan kelebihan agregat gol dua sama dimiliki Malaysia yang berjaya mara hasil peraturan gol di tempat lawan.

THAILAND: Chatchai Budprom, Philip Roller (Nurul Sriyankem 76’), Chalermpong Kerdkaew, Pansa Hemviboon, Korrakod Wiriyaudomsiri, Thitipan Puangchan, Tanaboon Kesarat (Pokklaw Anan 46’), Mongkol Tossakrai (Sumanya Purisay 63’), Sanrawat Dechmitr, Supachai Jaided, Adisak Kraisorn.

MALAYSIA: Farizal Marlias, Syahmi Safari, Aidil Zafuan (Irfan Zakaria 18’), Shahrul Saad, Nazirul Naim, Mohamadou Sumareh, Akram Mahinan, Syamer Kutty Abba, Safawi Rasid (Akhyar Rashid 67’), Norshahrul Idlan Talaha (D. Kenny Pallraj 80’), Zaquan Adha.

Loading...