Piagam UMNO, PAS Bukan Sekadar Kerjasama Politik

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan piagam antara UMNO dan PAS bukan sekadar berlandaskan kerjasama politik, malah turut mencakupi aspek akidah, keimanan dan keikhlasan.

Beliau berkata, kerjasama itu bukan sekadar piagam semata-mata, sebaliknya lebih mementingkan tahap pelaksanaan terhadap piagam yang dibentuk secara bersama.

“Jika akidah menjadi landasan, keimanan jadi pegangan dan keikhlasan dijadikan tapak untuk melaksanakan piagam ini, bukan sekadar negeri Selangor ini kita rampas semula, tetapi Putrajaya pun kita akan rampas semula.

“Dengan syarat mestilah berlandaskan tiga perkara tersebut kerana apa yang berlaku dalam Pakatan Harapan (PH), kesepakatan mereka hanya berlandaskan kepentingan politik, perjanjian mutaah. Sebab itu kita boleh lihat pecah-belah telah mula berlaku dalam PH.

“Lihat apa yang berlaku dalam PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah bukan retak menanti belah tetapi pecah menanti kehancuran,” katanya yang dipetik laporan UMNO Online ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Petaling Jaya dekat sini, hari ini. – UTUSAN ONLINE