Piagam UMNO-PAS Belum Dimuktamadkan

KUALA LUMPUR – Dokumen rasmi Piagam UMNO-PAS yang dijangka diisytiharkan penghujung bulan ini masih belum dimuktamadkan.

Walau bagaimanapun, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan menjelaskan perkara tersebut akan diselesaikan dengan segera, bulan ini.

“Kita belum muktamadkan piagam antara PAS dan UMNO. Sepatutnya kedua-dua parti mesyuarat malam ini tapi tertangguh lagi sebab ada pengundian bagi Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 sampai malam, kita tangguh dahulu.

“Isi kandungan juga belum muktamad. Kalau sudah muktamad kita akan beritahu. Mungkin berubah-ubah,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Piagam perpaduan ummah antara UMNO dan PAS itu yang dijangka diisytiharkan secara rasmi penghujung bulan ini di bawah dasar ta’awun diwujudkan bagi merealisasikan kedua-dua parti sebagai rakan kongsi. – UTUSAN ONLINE

Loading...