PH Tidak Komited Tunai Janji Hapus Tol

KOTA BHARU – Kredibiliti Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dipersoal apabila dilihat tidak komited dalam menunaikan janji yang ditabur semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) terutama berkaitan penghapusan tol.

Naib Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, sejak mengambil alih negara, pemimpin kerajaan PH membuat kenyataan berbeza-beza berkaitan isu tersebut sehingga mengelirukan rakyat.

Katanya, perkara itu dibangkitkan beliau ketika bertanya soalan dalam Dewan Rakyat hari ini namun jawapan Menteri Kerja Raya, Baru Bian menunjukkan kerajaan sekarang sudah hilang kredibiliti dalam mentadbir negara.

“Jawapan Menteri Kerja Raya di Parlimen hari ini menyatakan bahawa ‘kerajaan akan membuat pertimbangan berasaskan kepada kemampuan kewangan yang sedia ada’ jelas menunjukkan ketiadaan komitmen untuk menunaikan janji yang telah ditabur kepada rakyat.

“Di pihak Pas, kita telah menyatakan komitmen ini di dalam manifesto Gagasan Sejahtera bahawa tol wajib distruktur semula bagi mengurangkan kos hidup rakyat menerusi semakan semula perjanjian konsesi tol yang melebihi 15 tahun,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Menurut Ahmad Fadhli, janji PH masih boleh diakses di laman web pakatanharapan.com.my sehingga hari ini iaitu ‘Pakatan Harapan (Harapan) memberi keyakinan akan menghapuskan tol secara berperingkat berdasarkan kontrak konsesi selepas 100 hari mentadbir Putrajaya.’

Kata beliau, dalam laporan Harian Metro pada 29 Ogos 2018, Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd. Anuar Mohd. Tahir berkata PH konsisten melunaskan janji penghapusan tol secara berperingkat di seluruh negara dengan mengambil pertimbangan kedudukan kewangan negara.

“Beliau berkata kerajaan tidak boleh tergesa-gesa selepas mengetahui keadaan sebenar masalah kewangan dan beban hutang ditinggalkan kerajaan terdahulu selain mendakwa penghapusan tol bukan antara janji 100 hari.

“Terkini apabila Perdana Menteri sendiri di Bali, Indonesia pada 12 Oktober lalu menyatakan bahawa pembinaan lebuh raya tanpa mengenakan kutipan tol tidak mungkin dapat diwujudkan.

“Saya bangkitkan tiga kenyataan yang berbeza ini dari sumber pimpinan Pakatan Harapan yang jelas menunjukkan hilangnya kredibiliti Pakatan Harapan untuk terus mentadbir,” katanya. – UTUSAN ONLINE