PH Terperangkap Dalam ‘Mode Pilihan Raya’

KUALA LUMPUR – Selepas setahun mentadbir, kerajaan Pakatan Harapan (PH) seperti masih terperangkap dalam ‘mode pilihan raya’ selain dilihat tidak mempunyai keazaman untuk menyatukan rakyat.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim berkata, di dalam era Malaysia baharu, bukan setakat mempunyai muka baharu dalam kerajaan tetapi juga perlu seiring untuk bercakap dengan satu suara, memulihkan semangat dan membina sebuah negara.

Katanya lagi, pemimpin juga perlu bersedia menjalin hubungan dengan semua pihak dan menyatukan mereka yang bertelagah, bukan memperlekeh mereka yang tidak sehaluan.

“Ini perkara yang sangat mengecewakan. Kerajaan baharu ini langsung tidak ada azam untuk menyatukan rakyat. Mereka masih bersikap seperti pilihan raya akan diadakan minggu depan,” katanya seperti dilaporkan portal Free Malaysia Today hari ini.

Tambah Zaid lagi, walaupun sudah berkuasa setahun, PH masih menunjukkan tanda-tanda ‘Malaysia lama’, termasuk kurangnya kemandirian dalam kalangan anggota Kabinet termasuk contohnya, tidak ada yang berani mengkritik Perdana Menteri.

“Ini mengingatkan saya mengenai masa dalam UMNO. Rasa takut itu nampaknya masih wujud. Saya tidak kata anda mesti bersikap tidak hormat, tetapi ada dasar yang mesti diperjelaskan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan, sikap takut mengkritik itu akan mewujudkan sebuah kerajaan yang ‘mempunyai wajah berbeza tetapi ideologi yang sama’. – UTUSAN ONLINE

Loading...