PH Pecat Zakaria Sebagai CEO FGV

37

DIBUANG KERJA… Ketika zaman Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) tampak begitu ghairah sokong Datuk Zakaria Arshad dalam kemelut ‘panas’ Felda Global Ventures (FGV).

Ini menyaksikan Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad terpaksa diminta perdana menteri waktu itu, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk berundur sebagai pengerusi Felda dan kemudian digantikan oleh Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Malangnya setelah PH memerintah negara selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu, lain pula ceritanya apabila khidmat Zakaria sebagai presiden dan ketua pegawai eksekutif (CEO) Kumpulan FGV Holdings Bhd. ditamatkan.

Lebih dahsyat ia berkuat kuasa serta-merta dalam usaha aneh dilihat pengamat politik tanah air sebagai langkah pembersihan semua peneraju syarikat berkaitan kerajaan (GLC) daripada era BN atau yang kelihatan pro-BN.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, FGV berkata ia menerima surat daripada pemegang saham khas, Menteri Kewangan (Diperbadankan), hari ini yang menarik balik pelantikan Zakaria sebagai pengarah lantikan kerajaan.

Ia ekoran pelaksanaan perlembagaan baharu FGV, yang diluluskan pemegang saham FGV 28 Jun lepas mengikut fasal 89(3) yang menyatakan khidmat pengarah lantikan kerajaan akan ditamat apabila pelantikan ditarik balik.


Antara jawatan yang kini dipegang Zakaria dalam organisasi lain ialah Naib Pengerusi Persatuan Penapis Minyak Sawit Malaysia; Ahli Silih Ganti Lembaga Minyak Sawit Malaysia; Ahli Majlis Kumpulan Tindakan Keusahawanan Universiti Malaysia Kelantan dan penasihat Persatuan Trak Makanan Bergerak dan Makanan Jalanan Malaysia.

Perubahan itu susulan pelantikan dua pengarah bebas baharu FGV – bekas CEO Bursa Malaysia, Datuk Yusli Mohamed Yusoff dan Ahli Lembaga Pengarah Zurich Life Insurance Malaysia Bhd, Datin Hoi Lai Ping. – Agensi