PH Mungkin Swastakan Beberapa Jabatan Kerajaan

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mungkin akan menswastakan beberapa jabatan kerajaan sebagai langkah memastikan penjawat awam yang kehilangan jawatan terus memiliki pekerjaan.

Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, inisiatif tersebut sedang diteliti kerana beliau melaksanakan dahulu ketika menjadi Perdana Menteri keempat dengan menswastakan Telekom Malaysia.

Tegas Perdana Menteri, penjawat awam walau bagaimanapun boleh membuat pilihan sama ada bekerja di jabatan yang diswastakan atau kekal dalam kerajaan tetapi bersyarat iaitu akur dengan taraf gaji sektor awam.

“Kita ada pilihan untuk menyediakan dan memindahkan pegawai ke swasta dan kita boleh swastakan beberapa jabatan dalam kerajaan.

“Sepertimana yang kita lakukan kepada Telekom Malaysia, kita nak jadikan Telekom ini swasta dan kita pindah pekerja, ini pilihan mereka,” katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen, hari ini.

Pada 21 Februari lalu, Dr. Mahathir berkata, saiz penjawat awam di negara ini terlalu besar dan perlu dikurangkan.

Menurut beliau, jumlah 1.7 juta penjawat awam ketika ini membuatkan kerajaan terpaksa menanggung perbelanjaan yang banyak. – UTUSAN ONLINE

Loading...