“PH Kantoi Fitnah Tapi Tak Pernah Minta Maaf” – Najib

SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyindir Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini memfitnah dirinya terlibat dalam kes dakwaan salah guna wang Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim).

Beliau berkata, bagaimanapun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan tidak mempunyai bukti yang cukup untuk mengambil tindakan lanjut dalam kes tersebut.

Menurutnya, pada Mei lalu ketika hari mengundi PRK Sandakan, PH memainkan propaganda menuduhnya menyeleweng duit anak yatim dan keesokan harinya keluar berita utama dengan tajuk sensasi, ‘wang anak yatim RM1 juta diseleweng untuk bayar kos saman pembantu Najib’.

Katanya, gambar mukanya dipaparkan bersama tajuk berita dan dikongsikan secara meluas oleh ahli-ahli Parlimen PH.

” ‘Jahatnya Najib’, ‘dia curi wang anak yatim’. Hari ini, PH kata tak ada bukti pulak dan tidak ada tindakan boleh diambil.

“Mereka tak pernah takut berdosa. Tak pernah mereka meminta maaf kerana memfitnah walaupun telah terkantoi berpuluh-puluh kali,” tulisnya pada hantaran di Facebook miliknya.

Menerusi hantaran sama, Najib turut meletakkan tanda pagar #FitnahSudahMenang dan menyifatkan PH akan terus memfitnah walaupun sudah menang. – Sinar Harian