PH Kalah Di Tanjung Piai Satu Isyarat Bubar Parlimen

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendakwa kekalahan teruk Pakatan Harapan (PH) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai merupakan isyarat untuk kerajaan membubarkan Parlimen.

Ujar beliau lagi, isyarat itu jelas menunjukkan penolakan masyarakat terhadap PH dan pembubaran Parlimen adalah jalan terbaik kepada gabungan itu.

“Itu adalah merupakan pendirian semua ahli parlimen pembangkang walaubagaimanapun itu adalah keputusan yang harus dibuat oleh Perdana Menteri untuk tentukan keputusan.

“Bagi kami apa yang berlaku di Tanjung Piai ini adalah satu isyarat dan ia harus difahami dengan jelas.”

Ahmad Zahid mengulas mengenai desakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mendesak PH untuk membubarkan Parlimen susulan kekalahan teruk gabungan itu pada PRK itu.

Ismail semalam berkata jika kerajaan benar-benar sensitif dan mendengar suara hati dan nurani rakyat, kerajaan tiada pilihan lagi selain daripada membubarkan Parlimen dan menyerahkan kuasa kepada rakyat menentukan masa depan negara.

“Keputusan rakyat Tanjung Piai bukan sahaja menggambarkan perasaan rakyat di Tanjung Piai namun mewakili perasaan rakyat Malaysia keseluruhannya.

“Penolakan rakyat terhadap PH di Tanjung Piai bukan lah yg pertama. Kerajaan telah ditolak berturut-turut sebanyak 3 kali sejak PRK Cameron Highlands diikuti Semenyih dan Rantau.

“Majoriti kekalahan PH meningkat dari 3,000 lebih di Cameron Highlands ke 4,000 lebih di Semenyih dan Rantau sehingga memuncak ke 15,000 lebih di Tanjung Piai.

“Mesej rakyat amat jelas iaitu mereka tidak lagi percaya kepada kerajaan PH untuk menerajui pemerintahan negara ini. Keputusan Tanjung Piai merupakan referendum rakyat yang menolak kerajaan hari ini,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Ditanya samada desakan itu akan membawa kepada usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Ahmad Zahid, berkata usul untuk itu tidak akan dibawa pihaknya.

“Tidak daripada pihak kita, kerana kita percaya kepada proses demokrasi dan proses demokrasi perlu diterjemahkan kepada Perlembagaan dan Akta Pilihan Raya harus diikuti.

“Itu cadangan daripada Ketua Pembangkang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Loading...