PH Johor Mohon Sidang DUN Khas

ISKANDAR PUTERI – Pakatan Harapan (PH) Johor akan memohon satu sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) khas diadakan bagi membuktikan Menteri Besar Johor yang baharu Datuk Ir Hasni Mohammad mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri.

Penyelaras PH negeri, Aminolhuda Hassan berkata, pihaknya akan menyerahkan surat permohonan untuk memanggil sidang itu kepada Speaker DUN, Suhaizan Kaiat pada Ahad ini.

Katanya, keputusan itu dibuat bukan kerana PH Johor menentang keputusan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk melantik Hasni sebagai Menteri Besar.

“Sebaliknya kami berpendapat bahawa sebagai Menteri Besar, Hasni perlu ada tanggungjawab untuk mengadakan sidang DUN Khas supaya kita dapat memberikan kata putus terhadap kerajaan negeri yang sah,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar di sini, hari ini.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dzulkefly Ahmad; Timbalan Pengerusi PKR negeri, Jimmy Puah Wee Tse; ADUN Johor Jaya, Liow Cai Tung; ADUN Senai, Tee Boon Tsong dan ADUN Pekan Nanas, Yeo Tung Siong.

Sementara itu, Puah berkata berdasarkan Peraturan Tetap Dewan Negeri Johor artikel 7 (1), Speaker DUN mempunyai kuasa untuk menetapkan tarikh dan masa sidang khas itu.

“Sidang khas ini adalah platform yang paling sesuai untuk semua pihak menyatakan sokongan masing-masing terhadap kerajaan negeri yang baru. Ini kerana ia (langkah memanggil sidang DUN Khas) adalah tindakan yang adil,” katanya.

Loading...