PH Dakwa Risalah Sokong Calon Islam Tindakan Sabotaj

KUKUP – Pakatan Harapan (PH) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak tertentu yang menyebarkan risalah yang menyeru pengundi Tanjung Piai menyokong calon Islam.

Dalam satu kenyataan di Facebook, PH berkata risalah itu yang diedarkan kepada orang ramai pada ceramah perdana malam semalam adalah satu perbuatan yang disengajakan.

“Ini dilakukan untuk mencemarkan imej PH di kalangan pengundi pelbagai kaum di Tanjung Piai.

“PH ingin mengutuk sekeras-kerasnya tindakan sabotaj oleh sesetengah pihak yang memainkan sentimen perkauman ketika kempen minggu terakhir pilihan raya kecil Tanjung Piai ini,” menurut kenyataan itu.

Sebelum itu, risalah tersebut diletakkan di setiap kerusi hadirin yang hadir dalam ceramah perdana PH semalam.

Dalam risalah itu tertulis tajuk, “Siapa Calon BN”.

Antara kandungan risalah tertulis: “Kempen Buy Muslim First (BMF). Kita tanya dululah sama ada penjual itu orang PPBM, PKR, UMNO, PAS atau Amanah.

“Kita beli asalkan orang itu orang Melayu Islam. Bila undi, sepatutnya bila ada calon Islam dan bukan Islam kita pilih yang Islam tidak kira dari parti mana.

“Bila ada dua atau lebih calon Islam, kita pilih yang lebih besar. Jadi kita pilih PPBM. Ini baru betul ikut prinsip. Vote Muslim fisrt! – FMT

Loading...