PH Bertelagah Tentang Isu Pelaburan Lynas

KUALA LUMPUR – Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai mempersoalkan pendirian kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) berhubung isu syarikat memproses nadir bumi, Lynas Corporation Limited (Lynas) di negara ini.

Beliau berkata, kenyataan kepimpinanan PH lebih mengelirukan apabila Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof hari ini memaklumkan bahawa kerajaan PH mengamalkan pendekatan mesra perniagaan, justeru akan mencari kaedah terbaik dalam pengurusan sisa bahan tersebut kerana pelaburan Lynas terlalu besar untuk diabaikan.

“Pemimpin PH sering berbalah dan saling tidak bersetuju tentang isu Lynas secara terbuka. Oleh itu, saya menggesa supaya kerajaan menjelaskan kepada umum sama ada pelaburan Lynas itu selamat ataupun tidak, dan adakah kerajaan akan membenarkan projek itu terus beroperasi ataupun tidak,” soal Dominic dalam kenyataan, di sini hari ini.

Sebelum ini, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin menetapkan, prasyarat untuk syarikat itu memperbaharui lesen adalah menghantar pembuangan sisa bahan radioaktif ke Australia. Kenyataan itu juga malah disokong penuh oleh Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.

Mengulas lanjut mengenai kenyataan Mohd. Redzuan, Dominic menjelaskan bahawa kenyataan itu secara jelas merupakan satu lagi pusingan-U yang mengkhianati janji ke-39 dalam manifesto PH iaitu mengimbangi pembangunan ekonomi dengan perlindungan alam sekitar.

“Ini adalah satu petunjuk kuat bahawa kerajaan sebenarnya berhasrat untuk membenarkan Lynas terus beroperasi sebagaimana Laporan Jawatankuasa Semakan Lynas yang berusaha sedaya upaya supaya lesen mereka diperbaharui walaupun mendapat tentangan hebat.

“Saya juga mempersoalkan pendirian kerajaan mengenai laporan jawatankuasa itu yang mendapati bahawa sebarang peningkatan dalam kepekatan logam berat di dalam air bawah tanah bukan disebabkan oleh operasi Lynas.

“Adakah kerajaan akan menerima penjelasan tersebut atau adakah ini adalah permulaan bahawa Kerajaan PH secara rasmi akan membenarkan Lynas meneruskan operasinya?” ujarnya. – UTUSAN ONLINE