PH Berdepan Kecelaruan Kiblat Politik, Ekonomi

KUANTAN – PAS mendakwa sehingga kini kerajaan Pakatan Harapan (PH) masih bercelaru menentukan kiblat politik dan ekonomi kerana sehingga kini gagal mengemukakan idea gagasan negara mengikut acuan Islam sebenar.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan, terlalu panjang untuk disenaraikan kelemahan PH yang hanya tahu menyalahkan pihak lain ataupun menjenamakan dan menghidupkan kembali program kerajaan terdahulu yang dikritik mereka.

Malah, menurut Abdul Hadi sehingga ada yang menggelar PH sebagai kerajaan yang lemah dan tidak boleh diharap (kerajaan kakistokrasi).

“Kita juga sedang menyaksikan kecelaruan kiblat politik dan ekonomi di bawah pentadbiran PH yang sehingga kini gagal mengemukakan idea dan gagasan negara mengikut acuan Islam sebenar.

“Cukuplah rakyat menilai pembohongan PH terhadap janji manifesto yang belum tertunai, penipuan ijazah akademik di kalangan menteri, kebisuan terhadap pihak yang menghina kesucian Islam dan Nabi Muhammad SAW di samping kegagalan mereka menguruskan ekonomi bagi mewujudkan lebih peluang pekerjaan dan mengurangkan kos sara hidup yang sedang ditanggung rakyat,” katanya dalam Ucapan Dasar Presiden PAS pada Muktamar Tahunan Pas ke-65.

Ahli Parlimen Marang itu menambah, dunia menyaksikan kejatuhan pemikiran komunis dan kapitalis yang bercanggah dengan fitrah dalam membangunkan negara.

“Komunisme menolak wujudnya Tuhan dan mengekang kebebasan individu namun gagal mewujudkan sebuah masyarakat yang saksama.

“Manakala kapitalisme bertuhankan kebendaan dan memberi kebebasan individu namun terjerut dengan hutang dan tamak haloba serta menolak hubungan politik dan agama.”

Beliau berkata, atas prinsip beristiqamah dengan Islam yang sempurna, rakyat perlu meyakini bahawa tidak wujud sama sekali konsep pemisahan politik, ekonomi dan urusan duniawi kerana inilah petunjuk al-Quran yang dilaksanakan oleh Rasulullah S.A.W.

“Maka kita wajib beriman hanya Islam mampu menyelesaikan semua masalah, sejak dahulu sehinggalah terkini dan akan datang.

“Kita juga perlu memahami konsep Negara Hidayah bukan Jibayah, iaitu negara yang berdasarkan keimanan dan keberkatan, bukannya kebendaan yang menjadi berhala yang dipuja sehingga melanggar batas halal dan haram.

“Inilah teras tawaran PAS dalam model negara yang terkandung di dalam Wawasan Induk Negara Sejahtera (Wins) sebagai kerangka penyelesaian masalah negara yang membebankan rakyat dan kerajaan,” ujarnya. – Sinar Harian