PGM Sasar Empat Pemain Negara Layak Ke Sukan Olimpik Tokyo 2020

KUALA LUMPUR – Persatuan Profesional Golf Malaysia (PGM) menyasarkan bagi empat pemain Malaysia – dua lelaki dan dua wanita untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Pengerusi PGM, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, berkata satu dan setengah tahun akan datang akan menjadi garis masa penting bagi persatuan itu untuk memastikan mereka dapat memenuhi sasaran.

“Satu-satunya Indeks Prestasi Utama yang boleh saya fikirkan sekarang adalah Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan dengan tinggal hanya satu setengah tahun, adalah penting bagi kita untuk mencapai matlamat,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kalendar Jelajah PGM untuk musim 2019 di Ibu Pejabat PGM, hari ini.

Sehubungan itu, Ahmad Sarji berharap para pemain golf Malaysia akan beraksi cemerlang pada kejohanan Jelajah Pembangunan Asia (ADT) tahun depan dan meletakkan diri mereka di antara 300 teratas untuk layak ke Sukan Olimpik.

“Saya menaruh keyakinan penuh bahawa pemain kita akan beraksi dengan baik kerana kesemua mereka masih muda dan harus melakukan yang terbaik untuk meraih mata ranking dunia.

Sementara itu, Ahmad Sarji berkata PGM telah mencadangkan enam pemain golf berpotensi untuk beraksi dalam Kalendar Jelajah Asia 2019.

Mereka ialah Shahriffuddin Ariffin, Sukree Othman, Amir Nazrin Jailani, Kim Leung Kwang, R. Nachimuthu dan Wilson Choo.

Kalendar PGM 2019 adalah unik dan inovatif kerana ia menggabungkan enam segmen pertandingan di bawah satu kalendar dengan menawarkan hadiah berjumlah RM3.895 juta.

Kejohanan itu ialah sembilan acara Pembangunan Jelajah Asia, enam acara tertutup PGM, empat acara sekolah kelayakan PGM, 10 acara wanita, Piala Ryder IGT-PGM (yang akan dihoskan oleh Jelajah Golf Indonesia) dan satu acara senior PGM. – BERNAMA

Loading...