Petugas Barisan Hadapan, Atlet Negara Diberi Penghormatan

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat memberikan penghormatan khusus kepada petugas barisan hadapan serta atlet Olimpik dan Paralimpik negara hari ini.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan ahli dewan berdiri dan memberikan tepukan kepada mereka.

Titah baginda, petugas barisan hadapan negara khususnya perkhidmatan kesihatan terus berusaha keras mencurah khidmat bakti tanpa mengenal penat dan lelah serta berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam sebuah landskap tempoh pandemik yang panjang.

“Justeru, marilah kita terus menyokong dan merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan dan sektor kritikal lain atas perkhidmatan mereka yang tiada bandingannya,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat, Parlimen ke-14 hari ini.

Al- Sultan Abdullah turut merakamkan ucapan tahniah di atas kejayaan para atlet negara di temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo yang berjuang mengharumkan nama negara dengan berbekalkan sokongan dan doa dari seluruh rakyat Malaysia.

Seri Paduka turut menasihatkan Ahli Yang Berhormat agar tidak menjadikan masa depan negara dan rakyat sebagai taruhan dalam percaturan untuk mencapai agenda tertentu.

“Justeru, Beta menyeru kepada Ahli Yang Berhormat untuk mengembalikan fokus kepada usaha memerangi pandemik Covid-19 serta membawa kembali sinar kepada rakyat Beta dan negara tanah tumpahnya darah kita.

“Semoga Malaysia serta rakyat yang beta kasihi akan terus diberkati dan dianugerahkan oleh Allah SWT dengan taufik dan hidayah, aman sentosa serta hidup bersatu padu di bawah lindunganNya,” titah baginda. – myMetro Online