Petronas Akan Bincang Cadangan Harga Minyak Kompetitif

PETALING JAYA – Petronas Dagangan Bhd. hari ini mengambil maklum cadangan kementerian supaya produk petroleum dijual di bawah harga yang ditetapkan oleh kerajaan sebagai satu cara untuk menggalakkan persaingan antara syarikat petoleum.

“Syarikat akan membincangkan langkah ke hadapan terbaik dengan kerajaan dan pihak berkaitan dan akan mengeluarkan kemas kini sekiranya terdapat perkembangan lanjut berhubung perkara ini,” katanya kepada FMT.

Cadangan tersebut dibuat oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Saifuddin Nasution Ismail yang berkata, kesemua 3,500 stesen minyak di bawah enam pemain utama industri menjual produk petroleum mengikut mekanisme harga automatik, iaitu pada RM2.08 satu liter bagi RON95.

Beliau berkata, syarikat boleh mengurangkan harga runcit produk petroleum jika mereka mengamalkan persaingan melalui inovasi dan kecekapan, bukan setakat menumpukan perhatian kepada perniagaan berasaskan petroleum.

Saifuddin juga berkata, operator stesen minyak boleh melaksanakan kaedah itu jika mereka menjana isi padu jualan harian lebih tinggi.

Menurutnya, Kerajaan boleh memberikan kelebihan tertentu kepada syarikat petroleum yang mengambil langkah menurunkan harga mereka. – FMT