Pesuruhjaya PAS Perlis Kritikal

KANGAR – Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd. Shukri Ramli yang rebah ketika berucap pada Ceramah Perdana Muafakat Nasional peringkat negeri ini di Dewan 2020 di sini pada malam semalam dilaporkan dalam keadaan kritikal.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang masih dirawat di Unit Rawatan Koronari (CCU) Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini.

Ketua Penerangan PAS negeri, Dr. Saifizi Saidon berkata, berdasarkan keadaan semasa Mohd. Shukri dan nasihat doktor, hanya keluarga terdekat sahaja dibenarkan melawat.

“Mana-mana pihak yang ingin berbuat demikian diminta menangguhkannya sehingga dimaklumkan kelak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, PAS negeri akan sentiasa mengemaskini keadaan semasa ADUN Sanglang itu.

“Kita meminta orang ramai supaya tidak membuat, menyebarkan atau mempercayai sebarang maklumat yang datang bukan daripada sumber rasmi parti,” ujarnya.

Saifizi pada masa sama menyeru orang ramai agar dapat terus mengadakan solat hajat serta mendoakan kesihatan Mohd. Shukri.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam semalam, Mohd. Shukri tiba-tiba rebah ketika sedang menyampaikan ucapan aluan dengan memperkenalkan barisan kepimpinan tertinggi UMNO dan PAS di hadapan lebih 2,000 hadirin di dewan tersebut.

Mohd. Shukri yang dipercayai mengalami serangan jantung kemudian diberikan bantuan pernafasan oleh Unit Medik, Jabatan Amal Malaysia sebelum ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) membawanya ke HTF kira-kira lima minit kemudian.

Ceramah berkenaan turut dihadiri Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin.

Loading...