Pesta Arak: Pakatan Harapan Pertikai PDRM

KUALA LUMPUR – Pemimpin Pakatan Harapan mendakwa pesta arak Better Beer Festival 2017 tidak patut diharamkan di Malaysia walaupun risikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati kumpulan militan merancang mahu mencetuskan kekecohan keatas acara itu.

Pimpinan tertinggi Pakatan Harapan, Lim Kit Siang mendakwa, rakyat berhak mempersoalkan mengapa pesta arak itu diharamkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) jika hanya disebabkan oleh ancaman berkenaan.

“Sekiranya polis Malaysia tidak dapat mengendalikan ancaman keselamatan atau pengganas keatas Better Beer Festival yang akan diadakan di kawasan yang sangat terlindung dan mudah dilindungi, rakyat berhak bertanya bagaimana polis menghadapi ancaman pengganas utama atau berskala besar,” dakwanya dalam satu kenyataan hari ini.

PDRM dalam satu kenyataan rasmi hari ini turut menyatakan pendiriannya membantah penganjuran pesta arak Better Beer Festival 2017 di Malaysia yang sedang hebat dipertahankan oleh pemimpin dan penyokong pembangkang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dipetik berkata, bantahan PDRM itu disebabkan faktor keselamatan kerana pasukan keselamatan itu menerima maklumat wujud perancangan oleh kumpulan militan untuk melakukan sabotaj keatas pesta arak berkenaan.

Ramai pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan berang dengan keputusan DBKL mengharamkan Better Beer Festival 2017 yang dijadualkan berlangsung di ibu negara Oktober ini.

Penyokong pembangkang termasuk yang beragama Islam mendakwa Malaysia bukan hanya umat Islam tinggal di negara ini, maka pesta arak itu perlu diteruskan atas nama hak asasi.

Lima Ahli Parlimen DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) malah mengeluarkan kenyataan bersama menyelar keras pihak berkuasa tempatan itu dan mengugut DBKL supaya tidak berlagak menjadi jaguh agama.

“Kami rasa kesal kerana kerajaan tempatan seperti DBKL cuba alih pandangan dengan berlagak jadi jaguh agama,” kata mereka.

Pakatan Harapan yang dipengerusikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dianggotai oleh DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), PKR dan Parti Amanah Negara (PAN). – MYNEWSHUB.CC