Saturday, April 20, 2024

Creating liberating content

Bot Pelancong Karam Di...

KOTA KINABALU - Tekong bot pelancong yang karam ketika dalam perjalanan ke Pulau...

Laluan MRT Dari Semantan...

PETALING JAYA - Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) fasa kedua dari Semantan ke...

Kanggaru Dalam Kolam Renang...

WONGA PARK, Australia - Sebuah keluarga menerima kejutan besar apabila mendapati seekor kanggaru...

Kolam Renang Paling Dalam...

WARSAW - Poland bakal membuka kolam renang paling dalam di dunia yang mempunyai...

Peserta PABM 2017 Teruja Melawat Sekitar KL

BERSEMPENA dengan pertandingan berprestij Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) 2017, para peserta turut berpeluang melawat sekitar bandar raya Kuala Lumpur sepanjang Sabtu.

Program lawatan bermula jam 9 pagi hingga 6 petang itu malah memberi peluang kepada peserta untuk meninjau panorama keindahan sekitar ibu kota selain mempelajari pelbagai sejarah dan kebudayaan masyarakat tempatan.

Acara lawatan yang agak padat namun dilakukan secara riadah itu merupakan antara program disusun pihak penganjur iaitu Kementerian Pendidikan Tinggi dengan kerjasama Biro Pelancongan Kuala Lumpur.

Sekretariat PABM 2017, Mohd. Nurfitri Abu Bakar berkata, selain memperkenalkan keindahan dan tempat menarik sekitar kota raya, lawatan kali ini bertujuan bagi menenangkan peserta yang pasti berdebar sebelum pertandingan.

Dalam pada itu ujarnya, acara lawatan ini juga bagi menarik minat mereka untuk datang melancong ke Malaysia setelah tamat pertandingan tersebut susulan latar belakang peserta yang berasal dari pelbagai negara di dunia.

Bukan itu sahaja malah lawatan ini turut mampu membuka mata para peserta akan kelebihan Malaysia dari segi aspek pembangunan prasarana bertaraf dunia dan kemajuan pertumbuhan ekonomi.

“Tujuan utama kita adalah bagi mereka berasa tenang sebelum pertandingan. Sebab maklumlah pertandingan ini pun memang bertaraf antarabangsa, jadi tekanan mereka itu sangat tinggi.  

Dengan adanya lawatan sebegini, sambil itu kita memperkenalkan juga bandar raya Kuala Lumpur kita yang cantik,” kata Mohd. Nurfitri ketika ditemui Mynewshub, hari ini.

Dalam pada itu, peserta masing-masing melahirkan riak wajah yang teruja apabila melihat seni bina dan keindahan bangunan serta pusat pentadbiran Malaysia yang tersergam indah sekitar ibu kota.

Selain itu mereka juga menunjukkan perasaan gembira dan seronok apabila dapat melawat Taman Burung berikutan ada antara mereka yang baru pertama kali menjejakkan kaki ke kawasan tersebut.

Bukan itu sahaja malah terdapat kalangan mereka yang begitu sporting bersama-sama menari dengan penari kebudayaan ketika lawatan di Central Market.

Peserta dari Mesir, Ahmed Fikry Said berkata bahawa dia begitu seronok dengan lawatan hari ini walaupun pada awalnya dia berasa seperti tidak mahu mengikuti lawatan ini.


“Senang sekali, sebenarnya pagi tadi saya tidak yakin mahu ikut atau tidak. Tetapi apabila ikut saya sangat senang,” katanya.

Selain Ahmed, peserta dari China, Ma Xiou atau dikenali sebagai Nabil turut berkongsi perasaan gembira dapat melawat Taman Burung berikutan dia begitu menyukai haiwan tersebut.

” Saya rasa sangat gembira. Saya sangat suka bird park ini sebab saya sangat menyukai burung. Tapi saya rasa sikit tertekan la sebab peserta lain hebat dan sangat pandai. Saya juga rajin dan berusaha,” ujar Nabil.

Peserta dari Pakistan, Imtiaz Ahmad Sadiq yang belajar di Universiti Nottingham di Semenyih, Selangor pula berasa secara umumnya Malaysia merupakan sebuah negara yang paling seronok untuk melancong.

Walaupun dia telah bermastautin selama 18 tahun di sini, tetapi tidak pernah tergerak hati untuk mengkaji ibu kota ini dengan lebih mendalam.

Setelah mengikuti lawatan seharian ini, dia menunjukkan rasa yang teruja kerana dapat mengetahui pelbagai tempat bersejarah di Kuala Lumpur.

“Saya 18 tahun bermastautin tapi tidak pernah tergerak hati nak datang kaji tempat ini dengan lebih dalam. Kuala Lumpur sangat banyak tempat bersejarah. Secara umumnya tempat paling best melancong,” katanya dengan nada teruja.

Para peserta dibawa mengelilingi sekitar ibu kota yang mengambil masa dalam lebih kurang tiga jam sebelum dibawa menjamu selera di Hornbill Restaurant.

Pelbagai aktiviti diatur antaranya Heritage Tour di Dataran Merdeka sebelum lawatan ke tempat menarik seperti sekitar Tun Abdul Razak  Heritage Park, Kuala Lumpur Bird Park dan Central Market. – MYNEWSHUB.CC/Amy Maizura 

Kategori